Wednesday, March 13, 2013

BILA LAGI NAK MEMANCING NI..?

 'Member kamcing' saya, sdr Razwan, dah acapkali bertanya kepada saya~ "Bila lagi nak ke KDZ?"
Brother Sasman, juga menunggu-nunggu ajakan saya..

Soalnya, bila ya saya boleh memancing..? Saban minggu, waktu penuh terisi.. Nampak gayanya, kena tunggu cuti sekolah bermula 24 Mac nanti.. :(

Sunday, November 25, 2012

KEMBALI MENGUJI 'JORAN RIMBA TEKALA, SEMENYIH'..

Seperti biasa, apabila mood memancing kembali mencakar..tiap kali tiba musim cuti, aktiviti 'rekreasi minda' yang pertama difikirkan adalah memancing. Perkara kedua, di mana sasaran nak dituju. Ketiga, jika ada kenalan yang ingin turut serta, adalah lagi bagus..
     Setelah beberapa tahun tidak mengail sama, dan dimulakan dengan aktiviti melayan joran dua minggu berturut-turut di Kolam DZ pada minggu lepas, sahabat saya sdr Razwan, meminta saya merancang program memancing sekerap mungkin.. Sudah tentu hasrat itu sukar dipenuhi kerana ada ketika ahli keluarga juga mempunyai hajat untuk beriadah dan sebagainya.
     'Semangat' memancing yang begitu kuat pada sdr Razwan, mendorongnya membeli peralatan pancing baru untuk digunakannya. Bagi memenuhi permintaannya, saya mengajak beliau mencuba-duga kolam Joran Rimba Tekala yang terletak tidak jauh dari Empangan Semenyih.
Lalu, pada pagi tadi (24 November), kami berdua menuju ke destinasi tersebut. Bayaran yang dikenakan masih sama seperti dulu, RM5 untuk  sebatang joran, dan ikan dikenakan RM6 bagi setiap sekilogram tanpa mengira spesis.
      Umpan yang kami gunakan, roti Gardenia, dedak 901 dan dedak pandan. Suasana pagi yang mulanya hujan, kemudiannya pada lewat pagi kelihatan cerah, amat mengujakan kami, tambahan pula terdapat banyak riak ikan bermain di air, di samping pemancing lain sering pula menaikkan ikan patin dan pacu.
         Alhamdulillah, sdr Razwan berjaya mendapatkan seekor patin manakala saya mendaratkan seekor rohu lebih 2 kg. Menurut petugas di kaunter, sebelum ini terdengar ramai pemancing yang merungut kerana katanya spesis rohu amat payah untuk memagut umpan sejak kebelakangan ini.
Tapi, sudah menjadi rezeki saya.. Spesis yang dicari pemancing lain, dapat saya tangkap...
Alhamdulillah..



Thursday, November 15, 2012

'MERIAH MERAIH REZEKI' DI HARI DEEPAVALI

Cuti perayaan Deepavali, terisi dengan aktiviti memancing. Saya telah merancang dengan Razwan untuk melayan joran di Kolam DZ Cheras. Kami berdua sudah lama tidak keluar memancing bersama. Justeru, hari ini adalah hari yang paling sesuai untuk kembali 'bermain-main' dengan joran!

Pemergian kami turut disertai abang saya, iaitu bro Sasman, yang hadir bersama anak-anaknya~ Syafiq dan Haziq. Seperti biasa, kami membawa umpan roti dan pelbagai jenis dedak.

Kolam DZ ni sudah agak berubah kerana terdapat kesan tambakan di sepanjang tepi kolam. Ini bagi mengelakkan berlaku hakisan terhadap rumah yang dihuni oleh Abang Hambali, tuanpunya kolam.
Namun, keadaan itu tidak menjejaskan hajat kami untuk memancing. 

Alhamdulillah, meskipun cuaca panas terik, semangat kami tidak luntur. Bahkan kekerapan ikan yang meragut umpan, membuatkan kami begitu seronok melayan joran.

Rata-rata kami dapat menaikkan ikan pelbagai spesis iaitu jelawat, rohu, tilapia, lampam dan patin. Bro Sasman tentunya amat berpuashati kerana berjaya mendapatkan patin seberat 2.5kg. InsyaAllah, Kolam DZ pasti menjadi destinasi memancing kami pada masa akan datang.

'MENCUBA NASIB' DI KOLAM UDANG CHERAS

   Sewaktu pulang dari uptown Bandar Tun Razak, sahabat saya Razwan, telah mengajak saya singgah ke sebuah kolam memancing udang yang terletak berhampiran SK Taman Cuepacs dan gelanggang badminton Challenger  di Cheras.
  Tanpa membawa sebarang peralatan memancing, kami singgah juga ke kolam tersebut. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM15 bagi sejam memancing. Joran dan umpan hati ayam disediakan.

Memandangkan sudah agak lama tidak memancing, kami pun menduga kolam tersebut. Kebetulan, rakan kami, Abang Halim, turut berada di situ bersama isterinya. Mereka kerap memancing di sini. Justeru, kami turut bertanyakan tentang keadaan kolam, peluang dan sebagainya, sebagai panduan untuk kami mengenali kolam ini... Satu hal yang menarik, pengunjung yang membawa isteri, isterinya boleh memancing secara percuma..

Kami hanya memenuhi masa sejam itu sebagai 'latihan' kerana tidak seekor pun udang yang berjaya kami naikkan.. InsyaAllah, cuba di lain kali!


Tuesday, September 18, 2012

BILAKAH BERPELUANG MENDAPAT IKAN SEBESAR INI..?

Rancangan 'River Monster' yang memaparkan pengalaman Jeremy Wade menangkap ikan bersaiz gergasi di seluruh dunia, amat menakjubkan. Tentu sekali pengalaman itu turut mengujakan setiap yang bernama pemancing..termasuklah tuan punya blog ini!

Teman taklah mampu menjelajah ke seluruh dunia untuk mengalami pengalaman sebegitu. Namun, jika berpeluang merasai tangkapan gadang seperti dalam klip video ini, sudah cukup memberikan kepuasan tak terhingga..

Soalnya, bila ya..?
:D

Wednesday, June 13, 2012

ASAL DAPAT LEPAS..

Luahan rasa~ "Asal dapat lepas 'gian'!"
Itu yang mampu diperkatakan..
Sejak banjir yang dialami 7 Mac lalu, hinggalah teman selesai menguruskan majlis perkahwinan puteri sulung teman pada 2 Jun lalu, akhirnya hasrat melayan joran dapat dipenuhi..
AlhamduliLlah..

Mengisi waktu minggu akhir cuti persekolahan, teman bersama anakanda Anas serta rakannya, Alif,  mengunjungi 'Kolam Dato' di Batu 11, Cheras.. Kunjungan kali ketiga ini, tanpa rakan-rakan dari PPD kerana ada yang pulang ke kampung dan sebagainya.



Hasil tangkapan mungkin tidak berapa lumayan, namun jumlah seberat 2.1kg yang diperolehi itu adalah daripada spesis tilapia, lampam, anak-anak patin dan seekor puyu. AlhamduliLlah..

Walaupun tempoh pancingan sekadar kurang 6 jam, tapi sekurang-kurangnya kepuasan tetap dirasai.. Dan, Anas dan rakannya, sekurang-kurangnya dapat belajar memancing pada hari itu..

AlhamduliLlah..



Friday, March 30, 2012

BANJIR~ GANTUNG JORAN!

Hujan yang berterusan selama beberapa jam pada lewat petang 7 Mac lalu, rupa-rupanya memberi kesan yang amat besar kepada warga Hulu Langat. Kawasan kami dilanda banjir!

Banyak tempat yang dinaiki air hingga ada sesetengah tempat mencapai paras 7 kaki. Mungkin ada yang lebih teruk dari itu, tetapi bagi Taman Seri Nanding, kedalaman banjir adalah berbeza. Di kawasan saya, air hampir ke paras pinggang, manakala ada rakan 'setaman' yang sekadar buku lali dan sekaki tinggi saja. Apapun, sememang ia tetap memberi kesan terhadap perabot, barangan elektrik dan lain-lain yang turut musnah dalam kejadian tersebut.

Air yang 'naik' begitu cepat~ seolah-olah ibarat paip besar yang mencurah-curah, membuatkan saya (mahupun jiran tetangga lain), tidak sempat menyelamatkan pelbagai dokumen penting, buku-buku akaun dan sebagainya. Tidak ketinggalan, segala peralatan memancing, majalah Kail, Pancing, Sirip, Joran dan Umpan, turut rosak dan musnah... Koleksi akhbar sisipan Joran (Berita Harian) yang telah saya kumpul sejak beberapa tahun dulu, juga tidak boleh 'dinikmati' lagi..

Musibah ini diterima dengan redha, kerana meyakini bahawa setiap takdir getir Ilahi, pastinya mengandungi hikmah yang kita tidak ketahui.. Semoga dengan berkat kesabaran, DIA akan menganugerahi sesuatu yang lebih baik lagi. InsyaAllah..

Sudah lebih 3 minggu banjir reda, namun kerja-kerja mengemas tetap berterusan. Satu yang nyata, joran perlu 'digantung' buat seketika..

(...dan hasrat melayan joran disimpan 'dalam-dalam'... huhu..)


Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.