Pada mulanya, saya merancang untuk melayan joran di Sukida Resort, Semenyih - tempat favorite saya. Tapi kemudiannya saya mengubah rancangan untuk pergi mencuba kolam memancing yang terletak kurang 10 minit dari rumah saya.
Kolam Memancing Awie, yang terletak di Kampung Sungai Gahal, khabarnya telah dibuka sejak April lalu. Setelah dua kali mencari lokasinya sebelum ini, akhirnya saya temui juga kolam tersebut. Sebaik menjejak ke tempat berkenaan, semangat dan minat saya membuak-buak untuk kerap memancing di sini. Pemandangan persekitarannya amat mendamaikan. Selain itu, kawasan untuk melabuh pancing juga bersih dan selesa. Surau turut disediakan kepada pemancing.
Pada sesi memancing kali ini, isteri dan anak lelaki (tunggal) juga ingin turut serta. Saya sebenarnya sudah biasa memancing berseorangan, atau dengan kawan. Tapi memandangkan cuti sekolah, saya membenarkan anak isteri ikut sama.
Seperti biasa, saya menggunakan umpan roti dan dedak 'bomb'. Saya lebih selesa menggunakan kail mata rambai, berbanding dua mata. Joran bersaiz sederhana dan mesin kekili jenis Lemax.
Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM20 bagi tiga jam pertama. Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. (Saya sebenarnya akan berpuas hati jika memancing dari pagi hingga ke petang, seperti selalu di Sukida Resort. Tapi di Kolam Awie ini, perlu juga memikirkan kos yang perlu dibayar jika memancing dalam tempoh yang lama!)
Saya mendapati umpan roti tidak berkesan di sini. Umpan dedak dan pelet memang berjaya menarik ikan-ikan di sini. Walaupun dikatakan ikan yang terdapat di dalam kolam ialah tilapia, patin, keli, rohu dan leekoh, namun sasaran saya tetap si patin!
Alhamdulillah, saya berjaya mendaratkan empat ekor patin yang sederhana besar untuk dibawa pulang pada sesi memancing pada kali ini. (Suka punya fasal, sampai terlupa untuk merakam keempat-empat ekor patin itu!)
Insya-Allah, saya akan mengulang -meluang masa untuk mengail di Kolam Awie lagi..

*Catatan- Kepada sesiapa yang ingin memancing di sini, jika dari pekan Hulu Langat (Batu 14), bolehlah menghala ke SMK Abdul Jalil (SMKAJ. Dari laluan masuk SMKAJ, jalan terus ke penghujung jalan, belok ke kanan. Di situlah terletaknya KOlam Memancing Awie yang dibuka 24 jam. Selamat memancing!