(*Foto menunjukkan keadaan belakang rumah di mana air sungai telah melimpah ke kawasan kebun dan menghampiri rumah jiran saya)
Pagi di sekolah, saya mendapat maklumat daripada seorang rakan guru- kawasan Dusun Tua dan Batu 18 telah banjir. Di tempat kami, berita mengenai banjir ketika musim hujan, seperti satu fenomena yang telah diduga. Meskipun tidak seteruk bah di pantai timur, namun keadaan banjir yang melanda di kawasan tertentu di Hulu Langat, pastinya merisaukan.
(*Foto- Keadaan kebun berdekatan sungai yang dilimpahi air. Dulu, habis segala bubu dan peralatan berkebun dihanyutkan air bah)
Jalan utama yang menghubungkan kawasan dari Cheras dan Kajang, dengan Hulu Langat, hanya menggunakan satu jalan- iaitu dari Batu 9 melalui perkampungan Kg. Melaka, Bukit Raya, Desa Pelangi, Kg. Sg. Serai, Desa Raya, Dusun Nanding dll..
Apabila banjir di Kg. Sg. Serai, maka jalan utama sememang akan sesak kerana tidak sesuai dilalui kenderaan kecil. Mengikut berita yang diterima, ada kawasan yang ditenggelami air sedalam 2 meter. Rumah seorang rakan sekerja, air mencecah paras dada.
(*Foto- Mungkin nampak air cetek dan tidak masuk ke rumah Hj. Md. Zain Taukey Emas. Tapi itu sudah dikira 'tinggi' kerana kedudukan rumah Pak Haji agak tinggi dari sungai belakang rumah)
Isteri saya bersama empat lagi rakannya terpaksa berpatah balik setelah tidak dapat merentas jalan utama ke sekolah. Seorang rakan yang pulang mengambil anaknya di SMA Batu 10, tersangkut sejak jam 5 lebih, dan hanya sampai di rumahnya di Kg. Sg. Serai pada 8.30 mlm. (Masa biasa hanya kurang 10 minit)
Tidak pasti apa yang menyebabkan banjir besar ini berlaku. Ada yang kata, orang lepaskan air di Empangan Pangsun, pada kebiasaan hujan lebat. Ada yang beritahu- Sungai Langat tidak didalamkan, lantas apabila hujan lebat air sungai akan melimpah ke daratan..
(*Foto- Kejadian banjir yang berlaku ini pastinya akan membuatkan penduduk Taman Seri Nanding akan lebih berwaspada dengan keadaan banjir kilat setiap kali musim hujan lebat)
Apapun yang diperkatakan, banjir sudah berlaku. Ada yang terpaksa menanggung kerugian. Ada yang terpaksa menunggu berjam-jam dalam kereta kerana terkandas di jalanan. Ada yang terpaksa 'ponteng' kerja dan sekolah. Ada yang terpaksa membatalkan pelbagai janji yang telah dibuat.. Pendek kata, 1001 permasalahan telah timbul, kesan banjir kilat ini..
Sebagai hamba-NYA, kita terpaksa sedar bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmah di mana-mana. Tidak perlu merungut atau mengeluh, kerana dikhuatiri akan menyebabkan kita jatuh kufur! Kena yakini dengan kasih sayang-NYA dalam setiap takdir yang tersurat.
(*Foto- Air yang naik tidak sampai sekaki di hadapan rumah, tapi di belakang berdekatan sungai, rasanya lebih 10 kaki!)
*Saya terkenang pada zaman kanak- ketika bah di Rantau Panjang dan Kota Bharu, Kelantan. Seronok bermain air dan menaiki rakit.. Nostalgik amat!