Friday, October 31, 2008

Mari Tonton..

*Setelah melihat klip video ini, saya termenung sejenak..

Tuesday, October 28, 2008

Kembali Memancing di Sukida Resort, Semenyih


Sempena cuti Deepavali, saya dan Azhar telah merancang untuk melayan joran di Sukida Resort, Semenyih. Tempat ini menjadi pilihan kami kerana bayarannya yang agak murah, serta masa memancing yang lebih lama berbanding tempat lain. Setiap pemancing hanya perlu membayar RM 10 seorang (satu joran)untuk tempoh masa dari 8.00pagi hingga 9.oo malam. Ikan yang ditangkap, sekiranya ingin dibawa pulang, dikenakan bayaran RM 5 bagi setiap kilogram.

Selain itu, alam persekitaran tempat ini juga amat mendamaikan, dan tidak hairanlah tempat ini sering menjadi pilihan agensi kerajaan mahupun pihak swasta mengadakan 'family day', kem bina diri, motivasi dan sebagainya.

Saya dan Azhar tiba di Sukida Resort pada jam 9.01 pagi. Pada waktu begini, bilangan pemancing belum ramai. Di sini, terdapat beberapa kolam yang boleh dipilih para pemancing untuk menjadi lokasi pancingannya.

Saya, seperti biasa memilih kolam 'belakang' kolam utama sebagai tempat mencari habuan. Manakala Azhar, di kolam sebelah. Dia biasanya akan beralih ke tempat lain sekiranya tempat 'layanannya' tidak menarik (dalam kata lain, 'takdak yang mengusik').

Memancing di sini, saya biasanya menggunakan umpan roti (Gardenia, sebab ia lebih kenyal dan tak mudah peroi) serta dedak (Bomb) .

Waktu sekitar 9.00 pagi hingga ke tengah hari, biasanya ikan tilapia yang menyambar umpan. Spesis lain juga pernah kami dapat, antaranya lampam jawa, belida, sebarau. Tetapi spesis berkenaan sudah jarang diperolehi di sini. Sesekali ikan patung juga ada kala mengganggu dengan memakan umpan.
Spesis ikan pacu dan patin adalah ikan popular yang menjadi tarikan di sini, kerana ada yang mencapai berat lebih 5 kilogram ke atas. Biasanya, para pemancing akan melepaskan semula ikan-ikan terbesar dan terberat yang berjaya 'didaratkan', kerana berasa kerugian jika membayar sehingga RM 20 (keatas) bagi seekor ikan itu.
Jika berat ikan patin dianggarkan sekitar 1-2 kilogram, masih boleh dibawa pulang kerana 'berbaloi'.

(*Gambar menunjukkan tiga ekor kuda padi yang ada ketikanya jika pemancing terleka, kuda-kuda ini akan memakan umpan mahupun bekalan makanan kita yang terdedah..)
Untuk sesi memancing kali ini, saya berjaya mendapat beberapa ikan tilapia hitam yang sederhana besar dan seekor patin. Semuanya saya bawa pulang kerana harganya dikira berbaloi.

(*Ikan patin ni sedap dimasak asam pedas atau tempoyak, selain dibakar..tilapia hitam, bakar juga sedap..)
Berbanding dengan Azhar, dia hanya membawa pulang beberapa ekor ikan tilapia yang harganya tidak sampai RM 10. Begitupun, Azhar telah mencatat rekod tangkapan peribadi, setelah berjaya menaikkan seekor patin yang dianggarkan seberat 7 kilogram. Ikan itu menjadi perhatian pemancing lain yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan ikan tersebut.
Saya juga tidak melepas peluang bergambar dengan ikan itu, kerana saya selalunya yang mengambil gambar- jarang gambar saya yang diambil! Sekurang-kurangnya, ada kenangan untuk disimpan di diari ingatan..

(*Gambar kurang jelas kerana menggunakan kamera handphone. Saya tertinggal kamera digital di rumah..)
[*Kepada sesiapa yang berminat memancing di sini, jika datang dari pekan Batu 14 Hulu Langat, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dengan melalui jalan ke Sungai Tekali menuju ke Empangan Semenyih.]

Sunday, October 19, 2008

Gantung Joran Di Musim Hujan, Layan Bowling Dengan Teman-teman...


Aduh, sebenarnya 'rindu' untuk memancing begitu kuat! Yalah, rasanya sejak persekolahan penggal kedua bermula, hingga kini saya belum berpeluang memancing. Dulu, sekurang-kurangnya sekali sebulan, saya akan pergi ke kolam memancing berbayar dengan kawan-kawan, melayan joran. Pernah juga ke tempat memancing 'sorang-sorang' bagi mengubat 'rindu' itu. Tapi sekarang..?
Bermula dua minggu lalu, kawan-kawan sekolah mengajak saya bermain bowling. Sukan bowling ni pun dah bertahun tidak saya 'layan'.
Justeru, demi memenuhi 'hajat' kawan-kawan, saya pun 'berbowling' juga akhirnya...
(Kali pertama bermain bowling, kira-kira 27 tahun dulu! Paling kerap 'berbowling' adalah sekitar 1990-1994..)
Kini, sejak dua minggu itulah, saya sudah beberapa kali kembali 'melayan' minat ini..
Dan satu perkara yang tidak mampu saya elakkan sekarang ialah 'ajakan bermain bowling'!
Aduhai...

Tuesday, October 14, 2008

SALAM LEBARAN...

Wednesday, October 8, 2008

SubhanAllah.. Maha Pencipta, Maha Bijaksana


SubhanAllah.. itu yang terungkap, apabila melihat emel yang diterima daripada adik.
Terus terang, saya sememang tidak pernah melihat ikan yang sedemikian rupa. Bertambah lagi kekaguman saya terhadap al-Khaliq, Maha Pencipta.
Saya amat berharap, akan berpeluang melihat spesis ikan lain yang pelik, menarik, yang belum saya lihat, walaupun tidak dapat menangkapnya!
Apa perasaan saudara, jika dapat memancing spesis ikan ini..?

Jika saya, rasanya mungkin sedikit cuak apabila nak menanggalkan mata kail di mulut ikan ini. Sebab? Bibir dan gigi ikan ini 'lain macam aje'..

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.