Monday, December 21, 2009

JIKA TAK MEMANCING, APA AKTIVITI NAK BUAT..?

Aduhai, sejak dah join FB, teman jarang berblog..

Kalau 'masuk' blog, sekadar tengok kot-kot ada mesej yang sahabat tinggalkan.

Sebenarnya, sejak cuti persekolahan, teman cuma sempat sekali memancing ikan di Sukida Resort. Dan dua kali mengail udang di BMC.

Tapi, maaf sahabat. Teman tidak berkesempatan memasukkan berita atau cerita tentang aktiviti itu..

Kebelakangan ini, cuaca kerap hujan. Ini pastinya sedikit 'membantutkan' hasrat untuk melayan joran. Justeru, apa aktiviti yang boleh kita buat selain memancing..?

Buat teman, teman layan yang ini -

Sunday, November 22, 2009

KOLAM MANCING UDANG – BINTANG, BANDAR MAHKOTA CHERAS

Entah mengapa, kolam mancing udang Bintang yang terletak di Bandar Mahkota Cheras, Batu 11 ini, sudah menjadi pilihan utama saya untuk mengail. Selain berusaha mendapatkan udang harimau yang menjadi kegemaran anak-anak di rumah, memancing di Bintang BMC juga dapat merehatkan minda serta mampu melupakan bebanan kerja yang menekan..

Bagi yang belum pernah memancing di Bintang Fishing Prawn BMC, silalah mencuba. Bayaran yang dikenakan- RM15 untuk sejam pertama. Jika memancing 2 jam, RM26. 3 jam – RM36, dan seterusnya..

Tidak perlu fikirkan joran dan umpan, kerana segalanya disediakan. Cuma, jika saudara ingin mencuba umpan yang lebih ‘ummpphh’, bolehlah membeli umpun-umpun yang dijual dengan harga RM7 sebekas.

Kolam Memancing Udang Bintang dibuka pada setiap hari Isnin – Jumaat, jam 2.00 petang hingga 2.00 pagi, Sabtu (2.00 petang hingga 3 pagi) dan pada hari Ahad (12.00 tengah hari hingga 2.00 pagi).

Bagi memeriahkan lagi aktiviti memancing, disediakan cabutan bertuah pada setiap bulan. Hadiah berupa wang tunai RM 50 – RM 200, selain beberapa jam memancing percuma.

Cashier di Bintang, sdra Ah Jiang dan staff, Ah Chang sentiasa mesra dan ramah melayan saudara.

Saya pasti, saudara pasti teruja untuk mencuba!

Thursday, October 22, 2009

MEREHATKAN MINDA BARANG SEKETIKA.. DI CAMERON HIGHLAND



Sebetulnya, tempat ini ( Cameron Highland ), bukan destinasi pilihan sejak zaman di maktab lagi. Sering saja saya mengelak untuk ikut serta mana-mana rombongan jika ke sini..

Sebab? Saya jenis 'mabuk darat'. Waktu zaman kanak-kanak, berpindah dari Kota Bharu, Kelantan ke Johor Bahru, saya beberapa kali 'kalah'.. ( Uuweekkk! )

Dan ketika di maktab dulu, hingga telah mengajar (sebelum memiliki kenderaan), saya lebih suka menaiki keretapi daripada bas jika pulang ke kampung, semata-mata untuk mengelakkan dari 'tertewas'..

Zaman telah berubah. Jalanraya sekarang tidak seteruk dulu yang lebih banyak 'zig-zag'. Lebuhraya banyak yang jalannya lurus.
Kebiasaan memandu juga menjadikan diri lebih 'kuat' menghadapi 'jalan-jalan yang berliku'.

Atas arahan perkhidmatan (untuk berkursus), akhirnya saya sampai juga ke sini. Hampir suku abad setelah berkali-kali mengelak..
Alhamdulillah, saya tidak 'tewas' lagi...

Thursday, October 1, 2009

SELINGAN - KENAPA BURUH BANGLA PENTING..?

Mengapakah buruh asing, contohnya dari Bangladesh, masih diperlukan di negara kita..?

Mungkin klip video berikut, salah satu sebabnya..

(Klip video ini tidak ada kena mengena dengan sebarang aktiviti memancing!)

*Apapun, saya secara peribadi AMAT tidak bersetuju dengan lambakan buruh asing di negara kita.

Saudara, bagaimana..?

Wednesday, September 23, 2009

SALAM LEBARAN BUAT PENGUNJUNG..

Sunday, September 13, 2009

MANCING UDANG DI BANDAR MAHKOTA CHERAS

Seingat saya, dah bertahun tidak memancing udang. Kali terakhir saya memancing udang galah adalah di kolam berbayar - Tepian Rimba, di Sungai Serai.

Memancing udang, berbeza dengan memancing ikan- dari segi kosnya, persediaan, mahupun thrill ketika berusaha menaikkan tangkapan.

Dalam bulan Ramadhan, mood memancing tidak sekuat di 'bulan tak posa'. Sebab itu, saya hanya sekali memancing ikan (selepas bertarawih) pada malam Hari Kebangsaan dulu.

Pada malam Sabtu kelmarin, tiba-tiba hati terdorong untuk mengail udang. Tanpa dirancang, ajakan spontan saya kepada seorang teman- Kamarul, untuk keluar memancing udang, mendapat respons positif daripadanya. Lantas selepas bertarawih, kami menuju ke Bintang Prawn Fishing yang terletak di Bandar Mahkota Cheras.

Kolam memancing udang ini berbeza dengan kolam di Tepian Rimba, kerana ia hanya berupa kolam yang terletak di dalam kedai. Berukuran - anggaran 6 kaki lebar X 20 kaki panjang. Penghuninya- bukan udang galah, tapi udang harimau dan udang karang. Bayaran deposit sebanyak RM30 dikenakan. Kami mula memancing pada jam 11.25 malam, dan berakhir pada jam 2.00 pagi (kedai ditutup).

Pengalaman memancing udang harimau di dalam kedai, sememangnya lain dengan memancing di tempat yang terbuka. Ruang yang terhad, terlindung daripada hujan panas, dan 'diserikan' dengan bunyian muzik yang sesekali mengganggu telinga, namun keterujaan lebih kepada usaha menaikkan udang harimau - lebih-lebih lagi apabila penulis rasa tercabar melihat 'ah moi' - 'ah moi' pun mampu menaikkan udang harimau yang bersaiz 'gadang'.

Saya yang mulanya menggunakan peralatan memancing sendiri, beralah dengan nasihat sahabat- supaya menggunakan joran yang disediakan oleh pihak pengusaha kedai. Joran siap dengan mata kail, dan umpan hati ayam disediakan. Umpun-umpun turut boleh didapati dengan harga RM7.00 sebekas.

Saya yang miskin pengalaman memancing di kolam seperti itu, tidak meraih sebarang tangkapan sehinggalah waktu melebihi 1.00 pagi! Tapi berkat kesabaran, alhamdulillah- dalam waktu yang tersisa, saya mendapat 6 ekor udang harimau bersaiz 'gadang' setelah beberapa kali beralih tempat serta mendapat rentak skillnya.

Jika berkelapangan, saya pasti akan mencuba di kolam Bintang itu lagi. Kepada sesiapa yang berhajat mencuba, silakan- dan tak usah bawa sebarang peralatan memancing udang. Hanya bawa diri dan wang!

Monday, August 17, 2009

400 kg Patin Masuk Lubuk Gahal

Saya mendapat sms daripada tuan punya Lubuk Gahal, Cikgu Junaidi- 400 kg ikan patin dimasukkan ke dalam kolam. 200 kg kolam bawah, 200 kg kolam atas.

Teruja dengan angka yang diberi, Sabtu lalu saya bersama Anas meluang masa di Lubuk Gahal. Hajat di hati, tentunya nak meraih patin..

Seperti biasa, saya akan membawa joran favorite saya Daiwa Apollo Classic dan mesin kekili Daiwa Regal 1500, dengan tali bersulam 25 lb. Saya khuatir, jika menggunakan tali yang lebih ringan, mudah terputus..

Untuk patin, saya beranggapan roti Gardenia, selain roti pandan Mighty White amat berkesan dan sesuai. Di samping itu, saya turut membawa dedak pandan sebagai spare sekiranya umpan roti yang dibawa tidak mencukupi.

Setelah melayan joran sekitar sejam setengah, umpan yang digunakan kurang menggigit. Hanya beberapa kali terlekat anak tilapia dan lampam. Tauke kolam, Cikgu Junaidi yang datang kemudian, memberitahu saya bahawa umpan yang saya gunakan tidak sesuai dengan patin 'baru' ni. Dia menyarankan saya menggunakan palet 21 yang lebih berkesan.

Cikgu Junaidi menyediakan saya umpan yang dimaksudkan. Dan alhamdulillah, sememang pagutan dan usikan ikan terhadap umpan berkenaan lebih rancak. Dalam waktu yang tersisa (menghampiri 3 jam), saya mampu menaikkan 2 ekor patin selang kurang ssetengah jam. Masing-masing beratnya sekitar kurang 3 kg.

Saya teruja untuk memancing lebih lama, namun tidak sampai hati melihat Anas yang keletihan, untuk menunggu ayahnya memancing lagi.. Lantas kami pulang dengan hasil 2 ekor patin tersebut..
(Alhamdulillah, siang tadi wife masak patin asam pedas. Ikan patin tu fresh dan amat sedap isinya..

*Selain patin, spesis lain turut menghuni Lubuk Gahal. Gambar menunjukkan ikan lee koh seberat 5.3 kg.

Sunday, August 2, 2009

ALHAMDULILLAH, DAH LAMA TAK DAPAT IKAN BESOR!


ALHAMDULILLAH, at last, dapat gak ikan besor!

Memang sudah agak lama tidak dapat hasil yang bolehlah dianggap 'lumayan' ini..
Kali terakhir dapat ikan besor, di sebuah kolam berbayar di Semenyih. Itu ikan rohu.

Spesis yang diperolehi ini, tongsan sisik kasar. Ada yang sebut kap rumput. Entahlah, teman tak berapa arif sangat. Yang penting, cukup puashati apabila dapat menaikkan 2 ekor tongsan - seekor 2 kg lebih. Lagi seekor dinaggarkan hampir 4 kg. Sayangnya yang besor tu gambarnya tidak cantik untuk dimuatkan dalam entri kali ini.

Maklumlah, selepas teman menaikkan ikan tongsan ni ke darat, rakan-rakan lain pun turut ingin merakam foto mereka untuk dijadikan kenangan.

Buat Amiluddin dan Emey Rozemei, terima kasih kerana sudi menemani teman memancing. Tapi maaflah, teman 'beat' kalian lagi!

*Ikan tongsan sisik kasar yang dipancing di Rimba Ria Suara Hutan, Congkak.
(Ikan dalam gambar yang seberat 2 kg lebih)

Tuesday, July 28, 2009

PERKHEMAHAN DI RIMBA RIA SUARA HUTAN, CONGKAK

Pada Jumaat hingga Ahad lepas, saya berpeluang mengikuti program perkhemahan badan beruniform sekolah bertempat di Rimba Ria Suara Hutan, Sg. Congkak. Seperti biasa, tugas yang digalas- jurufoto yang akan merakam segala aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

Sesuatu yang agak menarik adalah sepanjang program berjalan, semua peserta dibenarkan bebas memakan segala buah-buahan yang terdapat di tapak perkhemahan. Antara buah-buahan yang menjadi habuan kami ialah duku langsat, rambutan, pulasan dan manggis. Sayang sekali buah durian telah habis sebelum kami menjejak ke situ. Cempedak, duku dan binjai juga ada tetapi kurang memikat tumpuan rakan guru.

Kami juga dibenarkan memancing di kolam ikan yang terdapat di kawasan tapak perkhemahan. Pada hari pertama lagi, saya dan Amiluddin menduga kolam di belakang, dan dapat membawa pulang 19 ekor tilapia merah -dalam masa kurang sejam.

Keesokannya, kami mengambil kesempatan untuk melayan joran lebih lama pada lewat pagi. Rakan-rakan lain - En. Azman, Ustaz Hazizan, dan Hishammuddin, juga tidak ketinggalan belajar memancing. Manakala rakan guru perempuan pula ada yang hanya ingin merasa layanan joran yang sudah 'menjerat' ikan..

Alhamdulillah, lebih 30 ekor tilapia merah dan hampir 10 ekor keli yang menjadi 'bahan barbeku' pada tengah hari itu juga!

Tuesday, July 21, 2009

ZALIMNYA MANUSIA..

Setiap kali saya menyemak email yang diterima, pastinya saya mendapat bahan klip video yang pelbagai. Terima kasih kepada rakan taulan yang tidak jemu mengirim bahan, meskipun hingga kini ada lebih kurang 2500 email di yahoo.com.my serta hampir 800 di gmail.com yang belum sempat saya baca/tengok..

Setiap bahan video, slaid, rencana atau gambar, akan saya simpan. Ada yang berguna sebagai bahan motivasi untuk anak didik.

Klip video berikut mungkin tidak sesuai ditonton kanak-kanak mahupun yang berjiwa lemah. Teman yang kuat semangat pun mengeluh dan mengaduh sewaktu melihat video tersebut.

Masih ada golongan yang percaya pada 'pembawa sial' dalam sesebuah masyarakat, hinggakan tergamak membunuh orang yang dianggap tukang sihir atau 'pembawa sial' itu. Peristiwa yang dirakamkan ini dipercayai berlaku di benua Afrika.
Semoga ianya tidak berlaku di tanahair kita.

Saksikan, dan insaflah dengan nasib orang lain yang lebih malang daripada kita...


Sunday, July 12, 2009

DULU 'KOLAM AWIE', SEKARANG - 'LUBUK GAHAL'

Sejak sesi persekolahan Penggal Kedua bermula, saya belum berpeluang melayan joran. Sewaktu cuti dulu, ada beberapa kali saya membawa Anas ikut memancing di beberapa kolam berbayar di daerah Hulu Langat.

Antara kolam yang kami kunjungi adalah Seri Bayu Tekala, Lubuk Ikan Sg. Tekali dan sebuah kolam berdekatan Taman Rakan -dulu namanya Kolam Yuyu (saya terlupa nama barunya!).
[*Gambar kolam berdekatan Taman Rakan, tidak ramai pengunjung. Anas lebih suka membaca dari memancing!]

Kolam favorite saya - Kolam Awie, juga telahpun bertukar nama. Kini, ia dinamakan 'LUBUK GAHAL'. Bersesuaian dengan nama barunya, tauke Lubuk Gahal iaitu Cikgu Junaidi, telah melakukan penambahbaikan terhadap kolam tersebut, terutama dari segi penambahan stok ikan yang menarik berserta saiznya yang tidak menghampakan para pemancing.

Bagi sesiapa di kalangan pemancing yang belum cuba menduga Lubuk Gahal, silakan menguji kemahiran saudara menaikkan spesis tongsan, rohu dan patin yang menghuni di kedua-dua kolam berkenaan.

[*Kedua-dua foto menunjukkan ikan rohu dan tongsan yang dipancing di Lubuk Gahal]
Selamat Memancing!

Thursday, May 21, 2009

RELAX JAP - POTONG RAMBUT GUNA API..?

Saya masih belum berkesempatan melayan joran dalam dua tiga minggu ini..

Memandangkan tiada bahan berkaitan ikan atau pancingan yang boleh dikongsi bersama, saya hanya mampu mengisi bahan berbentuk klip video untuk tatapan rakan taulan yang sesekali menjenguk ke blog saya..

(TERIMA KASIH - dik Syah Shah, kerana 'menjentik' teman untuk 'mengisi' sesuatu di 'rumah ini'..)

Klip video kali ini- tiada kaitan dengan ikan atau hal ehwal memancing. Tapi berkaitan dengan 'gunting rambut'. Saya pernah menggunting rambut sendiri- dulu, selama hampir 20 tahun. Jimat duit.
[Sebenarnya, sebab saya tak suka penggunting rambut itu memegang kepala saya!]

Tapi, sejak tiga tahun kebelakangan, saya 'boleh terima' orang lain menggunting rambut saya..

Menonton klip video berikut, saya sama sekali tidak akan sanggup jika diperlakukan begitu..

Saudara, bagaimana..?

(Mungkin sesuai bagi yang berambut kerinting @ 'afro'.. :D)

Wednesday, May 6, 2009

REHATKAN MINDA...JOM TENGOK UFO!

Pada bulan lalu, ada berita tentang objek yang tidak dikenali (UFO) yang dapat dirakam oleh dua beradik di Johor. Beberapa hari kemudian, pihak berkuasa dan agensi yang ada kaitan dengan hal ehwal angkasaa membuat penafian wujudnya kehadiran UFO ni..

Selalu saja, berita atau cerita mengenai UFO, akan disangkal keras serta dinafikan oleh pihak berkuasa- di serata dunia. Meskipun bukti telah dikemukakan melalui gambar, video, namun akhirnya kes penemuan UFO masih tetap menjadi misteri hingga ke hari ini.

JIka tanyakan kepada saya, secara peribadi- saya percaya pada kewujudan UFO. Alam ini - ghaib dan nyata, terlalu luas untuk diteroka. Kebesaran Ilahi memungkinkan segalanya.

Saya juga pernah melihat dengan mata kepala sendiri- objek seakan piring terbang, jelas bergerak deras - dalam beberapa saat, sebelum hilang dari pandangan. Namun, peristiwa yang telah 30 tahun berlalu itu tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa. Untuk apa dihebah dan dihebohkan? Sebab saya pasti, tidak ramai yang percaya...

Anda pernah berpengalaman serupa..?

Mari kita rehatkan minda dengan menonton video klip berikut. Saya tidak pasti tarikh tepat rakamannya. Cuma saya diberitahu, ianya dirakam di Haiti. Benar atau palsu, saudara nilailah sendiri..

Friday, April 24, 2009

MENONTON 'MAHSURI', YANG KUTEMUI 'MANIRA'

Jika sebut Fauziah Nawi, yang tergambar adalah seorang pelakon yang amat berbakat. Saya pernah, dan suka menonton drama serta teater lakonannya. Lakonan beliau dalam 'Cinta Julia' di Setor DBP dulu, hingga kini masih membekas di ingatan!

Semalam, saya dapat jemputan daripada dik Ryann [http://audiiwana.blogspot.com] untuk hadir ke majlis pratonton teater 'Mahsuri' arahan kak Fauziah di Panggung Sari Istana Budaya.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang teater itu, kerana saya telah menulis mengenainya di http://kanvaskarya-amal4444.blogspot.com.

Apa yang ingin saya sentuh adalah mengenai 'Manira' yang saya temui di sebalik teater Mahsuri.

Gerak hati saya kuat mengatakan- "dia lah Manira!"
(Saya tahu, dia turut hadir di majlis pratonton itu...)

Niat saya untuk memberikan sebuah novel kepadanya, terencat..

Sebab..?

Saya tahu, dia cuba melarikan diri daripada saya..

"Siapalah saya di matanya..?"

Saya sedar, saya bukannya seorang celebrity yang dikejar orang!

Namun, atas rasa ukhuwwah, kenal kawan, rasa bersahabat, saya rasa sepatutnya ada perbualan yang berlaku antara kami.. Namun apa kan daya.. Mungkin juga rasa segan menyebabkan hanya 'mata yang melihat', bukan 'kata yang berbalas'!

Akhirnya novel yang dibeli, diniatkan untuk dihadiahkan kepada dik 'Manira', dibawa pulang..

Aduhai..

Tuesday, April 21, 2009

KEMBALI MELAYAN JORAN DI 'LUBUK IKAN', SG. TEKALI

Sudah lebih sebulan saya tidak meng'update' blog ini. Begitu juga blog yang lain. Tentu kesibukan- alasan yang terpaksa diberi kerana itulah hakikat yang dihadapi.
(Saya kagum dengan kawan blogger - KTS, CKlah, Syah Shah, YB -sekadar menyebut beberapa nama- yang terus rajin mencoret sesuatu di blog mereka. Meskipun saya tidak mengisi bahan dalam blog saya, tapi apabila berinternet, saya akan menjengah ke blog mereka itu..)

*Terima kasih - kepada teman-teman yang singgah ke sini, yang 'mengintai' jika ada entri terbaru saya..
Buat kalian, SEJAMBAK KEMAAFAN - atas segala kekurangan..

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Apabila musim sekolah, tidak banyak masa untuk pergi mengail. Saya tidak 'kuat' seperti seorang rakan, hari sekolah pun dia sanggup berjam-jam memancing pada sebelah malam. Dulu, saya pun bolehlah dikategorikan sebagai 'pemancing tegar'. Dalam seminggu persekolahan, pasti dua-tiga hari saya memancing di kolam berbayar berdekatan. Ada kalanya pulang ke rumah sehingga jam 2-3 pagi, sedangkan keesokannya terpaksa bertugas..

Kini, saya hanya mampu meluang masa untuk memancing pada hujung minggu. Itupun, 'tidak keluar daerah', seperti 8-10 tahun dulu.

Baru-baru ini, saya dan Anas, menduga Lubuk Ikan yang terletak di Sg. Tekali, berdekatan dengan Pusat Kokurikulum Negeri Selangor. Dahulunya, kolam ini dikenali dengan nama Kolam Hj. Nawawi. Difahamkan, nama baru diberi setelah kolam ini diurustadbir oleh anak Hj. Nawawi.

Bayaran memancing- RM20 bagi tiga jam pertama. Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. Tapi bagi tempoh promosi, pemancing diberikan sejam percuma. Tidak pasti bila tempoh promosi ini berakhir.

Ketika saya tiba, tidak ramai pemancing. Dan hasil yang dinaikkan juga tidak kerap. Suasana nampak kurang meriah. Sesekali kelihatan pemancing menaikkan pacu dan tilapia.

Saya yang berbekalkan umpan dedak pandan, dedak 929, selain cengkerik, tidak mendapat 'sambutan menggalakkan' daripada penghuni kolam ini. Saya ada bertanyakan kepada seorang adik yang memancing, umpan apa yang digunakan. Dia dan rakannya menggunakan umpan cacing. Ternyata umpan itu jarang menghampakan.

Aktiviti memancing itu bagi saya cukup sekadar empat jam, dan tidak bercadang menambah masa lagi. Hasilnya, hanya seekor pacu hampir sekilogram yang dibawa pulang.
Aduhai..

Friday, March 13, 2009

BANJIR KILAT DI HULU LANGAT

Hari ini, pastinya menjadi kenangan pahit buat segelintir warga Hulu Langat. Sejak 15 tahun, tidak pernah berlaku banjir besar seperti yang terjadi pada hari ini.

(*Foto menunjukkan keadaan belakang rumah di mana air sungai telah melimpah ke kawasan kebun dan menghampiri rumah jiran saya)
Pagi di sekolah, saya mendapat maklumat daripada seorang rakan guru- kawasan Dusun Tua dan Batu 18 telah banjir. Di tempat kami, berita mengenai banjir ketika musim hujan, seperti satu fenomena yang telah diduga. Meskipun tidak seteruk bah di pantai timur, namun keadaan banjir yang melanda di kawasan tertentu di Hulu Langat, pastinya merisaukan.

(*Foto- Keadaan kebun berdekatan sungai yang dilimpahi air. Dulu, habis segala bubu dan peralatan berkebun dihanyutkan air bah)
Jalan utama yang menghubungkan kawasan dari Cheras dan Kajang, dengan Hulu Langat, hanya menggunakan satu jalan- iaitu dari Batu 9 melalui perkampungan Kg. Melaka, Bukit Raya, Desa Pelangi, Kg. Sg. Serai, Desa Raya, Dusun Nanding dll..

Apabila banjir di Kg. Sg. Serai, maka jalan utama sememang akan sesak kerana tidak sesuai dilalui kenderaan kecil. Mengikut berita yang diterima, ada kawasan yang ditenggelami air sedalam 2 meter. Rumah seorang rakan sekerja, air mencecah paras dada.

(*Foto- Mungkin nampak air cetek dan tidak masuk ke rumah Hj. Md. Zain Taukey Emas. Tapi itu sudah dikira 'tinggi' kerana kedudukan rumah Pak Haji agak tinggi dari sungai belakang rumah)
Isteri saya bersama empat lagi rakannya terpaksa berpatah balik setelah tidak dapat merentas jalan utama ke sekolah. Seorang rakan yang pulang mengambil anaknya di SMA Batu 10, tersangkut sejak jam 5 lebih, dan hanya sampai di rumahnya di Kg. Sg. Serai pada 8.30 mlm. (Masa biasa hanya kurang 10 minit)

Tidak pasti apa yang menyebabkan banjir besar ini berlaku. Ada yang kata, orang lepaskan air di Empangan Pangsun, pada kebiasaan hujan lebat. Ada yang beritahu- Sungai Langat tidak didalamkan, lantas apabila hujan lebat air sungai akan melimpah ke daratan..

(*Foto- Kejadian banjir yang berlaku ini pastinya akan membuatkan penduduk Taman Seri Nanding akan lebih berwaspada dengan keadaan banjir kilat setiap kali musim hujan lebat)
Apapun yang diperkatakan, banjir sudah berlaku. Ada yang terpaksa menanggung kerugian. Ada yang terpaksa menunggu berjam-jam dalam kereta kerana terkandas di jalanan. Ada yang terpaksa 'ponteng' kerja dan sekolah. Ada yang terpaksa membatalkan pelbagai janji yang telah dibuat.. Pendek kata, 1001 permasalahan telah timbul, kesan banjir kilat ini..

Sebagai hamba-NYA, kita terpaksa sedar bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmah di mana-mana. Tidak perlu merungut atau mengeluh, kerana dikhuatiri akan menyebabkan kita jatuh kufur! Kena yakini dengan kasih sayang-NYA dalam setiap takdir yang tersurat.

(*Foto- Air yang naik tidak sampai sekaki di hadapan rumah, tapi di belakang berdekatan sungai, rasanya lebih 10 kaki!)
*Saya terkenang pada zaman kanak- ketika bah di Rantau Panjang dan Kota Bharu, Kelantan. Seronok bermain air dan menaiki rakit.. Nostalgik amat!

Thursday, March 5, 2009

SEKSANYA BADAN...

Aduhai..sekali lagi rasa terkedu, tatkala menonton klip video yang memaparkan suatu bentuk penyiksaan terhadap haiwan.

Meskipun ia berbentuk pertandingan memasak, tapi apabila melibatkan penganiayaan seperti itu, saya rasa kita sama sekali tidak boleh menerima perlakuan seperti yang dipaparkan tersebut.

[ Cuma, alhamdulillah, ia tidak berlaku di negara kita... Namun, siapa tahu- ia berlaku di restoran-restoran Cina di negara kita..? ]

Islam melarang sebarang bentuk penyiksaan terhadap hidupan. Jika ingin membunuh haiwan sekalipun, tidaklah sampai masak hidup-hidup!

Saudara, tergamakkah menelan masakan itu jika dihidangkan kepada saudara..?

Sunday, March 1, 2009

KOLAM TANGGUK-TANGGUK, SEMENYIH. INDAH KHABAR DARI RUPA..?

Banyak yang saya dengar daripada kenalan pemancing tentang kolam ini. Sejak kebelakangan ini, cerita yang saya dengar- pasti mengenai banyaknya spesis rohu bersaiz gadang di kolam tersebut.

[Lama dulu, saya pernah meraih tilapia merah sederhana besar sehingga penuh kumbu. Sampai seorang member ajak pulang kerana tak larat nak melayan joran yang kerap mengena!

Kami kerap mengulang mengail di Tangguk-tangguk waktu itu. Sehinggalah suatu hari, setelah dua-tiga jam memancing tanpa sebarang habuan, kami diberitahu "kolam dah tak masuk ikan sejak empat bulan!". Terasa bagai "tertipu", kami pun berpakat pulang serta berjanji untuk tidak memancing di situ lagi!]

Tapi itu dulu. Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, saya mendengar "kehebatan" kolam ini yang menarik ramai pemancing dan "peminat rohu!" Lalu saya dan beberapa orang teman merancang untuk menduga sendiri kolam Tangguk-tangguk berkenaan..

Bayaran, masih RM20 untuk minima empat jam, bagi sebatang joran. Syarat-syarat lain, sama seperti tempat memancing lain.

Saya dan rakan-rakan melayan joran tidak sampai tempoh minima, kerana hanya anak-anak tilapia yang menggigit umpan.. (kecuali seorang teman mendapat seekor rohu sekitar sekilo lebih). Mainan yang diharapkan tidak menjadi. Tidak pasti, sama ada umpan kami yang tidak sesuai untuk ikan di kolam tersebut, ataupun tidak banyak ikan yang terdapat di dalam kolam..?

Meskipun tidak mengikut tempoh minima empat jam, namun kita tidak boleh menuntut pulangan bayaran sekalipun jika kita hanya memancing sekitar dua -tiga jam sahaja. Ini berbeza sedikit dengan beberapa kolam lain yang pernah saya pergi..

Apapun, bagi saya, cukuplah dengan pengalaman pada hari tersebut.. Masih banyak lagi kolam memancing di Lembah Kelang yang belum lagi saya uji...

Saudara, boleh cuba jika mahu. Mungkin rezeki saudara, lain pula berbanding nasib kami..
Perjalanan dari Pekan Batu 14, Hulu Langat melalui bukit Jalan Sungai Tekali, mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan. Sepanjang menuju ke Tangguk-tangguk, saudara juga boleh melihat beberapa kolam lain seperti Seri Bayu Tekala, dan Sukida Resort.
Selamat mencuba..

Monday, February 16, 2009

TANAM ANAK HIDUP-HIDUP..

Saya menerima satu lagi klip video yang agak menyayat hati..
Biarpun ianya sekadar lakonan semula, tapi amat berbekas di minda.

Ia memaparkan realiti yang berlaku dalam suku kaum di Amazon, di mana saban tahun beratus kanak-kanak dibunuh hidup-hidup atas dasar kepercayaan kuno kaum mereka.

Undang-undang purba dan kepercayaan kuno yang tidak mencerminkan kasih sayang terhadap anak-anak, sebaliknya menyerlahkan sifat kebinatangan yang diwarisi turun temurun - tanpa ada usaha untuk mengubahnya.

Klip video ini dikatakan dibuat berdasarkan pengalaman salah seorang yang terselamat daripada penganiayaan ditanam hidup-hidup..

Sebelum menontonnya, harap bersedia dengan unsur 18SG (+ 18SX ?) yang dipaparkan. Bukan tujuan sengaja menyiar bahan lucah @ porno. Tapi dengan niat agar perasaan kasih sesama insan terbentuk, lebih-lebih lagi terhadap anak-anak kecil yang masih putih bersih daripada segala noda dan dosa..

(Semoga anak cucu cicit kita tidak mengalami nasib yang sama.. Amiin)


Sunday, February 15, 2009

MENIMBA HASIL DI KOLAM TERATAK MADU, KG PASIR, SEMENYIH

Apabila merancang untuk memancing, Semenyih adalah lokasi pilihan kerana terdapat banyak kolam memancing berbayar yang menarik. Saya berhasrat untuk mencuba semua kolam memancing yang terdapat di sekitarnya kerana lebih berpuashati menguji sendiri kolam-kolam ini berbanding hanya mendengar daripada rakan yang pernah mengail di tempat berkenaan.

Pagi Sabtu lalu, saya dan kawan-kawan merancang memancing di Teratak Madu, Kg Pasir, Semenyih. Saya berkereta (sendirian), Cikgu Rukis menunggang motorsikal, manakala Cikgu Junaidi satu kereta dengan Ustaz Norizam.

Perjalanan dari pekan Batu 14 Hulu Langat merentasi bukit Jalan Sg Tekali ke destinasi, mengambil masa kira-kira 30 minit.

Kolam Teratak Madu hanya dibuka pada hujung minggu (Sabtu & Ahad) serta pada hari cuti umum. Bayaran dikenakan RM5.00 bagi sejam.

Ikan yang menghuni kolam ialah Patin, Tongsan, Rohu, Tilapia, Lampam dan Baung. Menurut kata keluarga tuanpunya kolam, paling besar ikan yang terdapat di kolam adalah patin seberat 20 kilogram!

Sesi awal memancing, kami hanya melayan ragutan tilapia merah dan lampam. Seperti biasa, ikan bersaiz kecil, kami 'catch & release'. Manakala saiz yang boleh dibuat lauk, kami masukkan ke dalam kumbu.
Cikgu Junaidi paling banyak menaikkan tilapia merah sebesar melebihi tapak tangan. (Sehinggakan dia memberikan beberapa ikan tilapia merah kepada Cikgu Rukis yang terpaksa pulang awal kerana isteri memintanya pulang untuk ke pasar)

(*Tumpuan memancing kami sedikit tergugah melihat sekumpulan anak dara berkereta MyVi yang datang turut melayan joran di seberang sana..)
Pada waktu tengah hari, kami beralih 'port' ke seberang kolam. Mengikut Cikgu Junaidi, di sana lebih sesuai kerana di situ tempat bermain spesis rohu.

Ternyata 'penghijrahan' kami berbaloi. Adegan bertarung dan menaikkan ikan lebih kerap. Joran saya juga nyaris terbang, tetapi kerana lebih awal diikat, hanya ikan yang terlepas -melepaskan kail mata rambai bersaiz 7 yang terbuka dan perambut dawai yang terbengkok..

*Ustaz Norizam sedang bertarung dengan rohu anggaran 2 kilogram

*Cikgu Junaidi membantu menyauk ikan melalui penangguk yang dibawa bersama
Kami memancing selama 6 jam dan perlu membayar RM30.00. Namun itu bukan masalah kerana trip kami kali ini dianggap memuaskan hati, dengan hasil patin, rohu, tilapia merah dan lampam yang dibahagi-bahagikan sesama kami.

Insya-Allah, jika ada ruang dan peluang, saya pasti akan memancing di Teratak Madu lagi..

Wednesday, February 11, 2009

MAAFKAN ABAH, ANAS!

Mengapa saya mohon maaf daripada 'Anas'..? Apa kesalahan yang saya dah buat terhadapnya..? 'Anas', tu anak saya kah..?

Ya, 'Anas' - anak saya. Satu-satunya anak lelaki saya. Tunggal. Tidak ada dua atau lebih.

Berbeza dengan saya, ada lima beradik lelaki. Tapi 'Anas', hanya seorang. Empat yang lain perempuan.

'Anas' beria-ia mengikut saya memancing pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini. Kami tidak pulang ke Johor Bahru, memandangkan sekolah hanya bercuti selama empat hari.

Lokasi yang disasar untuk memancing- Seri Bayu Tekala, Semenyih. Saya sudah bertahun tidak memancing di sini, kerana dulu- ikan yang kami dapat, tidak enak dan berasa lumpur. Geng mancing yang lain juga mengatakan yang sama.

Tapi sejak tahun lepasSeri Bayu Tekala kerap mengadakan pertandingan memancing, hampir setiap bulan. Makluman mengenainya sering disiarkan dalam akhbar sisipan Joran, Berita Harian, setiap Jumaat.

Khabar daripada rakan lain, tempat ini antara pusat memancing yang menarik kerana ikan yang terdapat di kolam di sini "gadang-gadang"(besar-besar).

Bayaran memancing- RM25 bagi empat jam, dan deposit RM10. (Seingat saya, dulu cuma RM20 bagi empat jam, tiada deposit dan boleh guna dua batang joran). Bermakna pemancing perlu membayar RM35 untuk pancingan selama empat jam. RM10 akan dikembalikan jika tidak menambah masa (RM5 setiap jam berikut).

Seperti biasa, 'Anas' menjadi pengikut setia membantu membawa peralatan dan sebagainya. Saya belum mahu mengajarnya memancing kerana dalam usia hampir 11 tahun, saya belum ingin melihatnya 'membiasakan diri melayan joran'. Kalau dah berminat, dikhuatiri nanti 'ketagih' pula! Insya-Allah, jika dia sudah bersekolah menengah, baru saya akan membimbingnya memancing..

Kami memancing selama empat jam. Ada ikan yang mengusik umpan, tapi tidak kerap dan tidak 'ganas'.. Dari seberang kolam, kami lihat ada yang menaikkan ikan patin (kecil dan besar), keli afrika (lebih 8 kilogram), tilapia merah, dan pacu.

Ikan banyak bertumpu di kawasan tengah (kolam utama). Pemancing biasa tentunya sudah tahu lokasi ikan berkumpul. Bagi yang baru -seperti kami (meskipun pernah sekali memancing di sini, dulu)- belum mampu 'membaca kawasan' ikan..

Setelah empat jam tanpa hasil, kami pun berkemas untuk pulang. Saya yang masih belum puas memancing, menanyakan jika 'Anas' sudah berasa letih untuk ikut memancing di tempat lain. 'Anas' kata, "Terpulang pada abah.. Anas ikut aje"
c
Lantas saya mengajaknya melayan pancing di Kolam Awie pula.. Dan alhamdulillah, ada hasil yang diperolehi meskipun tidak lumayan!

Di rumah, saya terkejut apabila isteri memberitahu- Anas terpijak sengat ikan patin yang saya perolehi di Kolam Awie tadi. Saya tidak tahu kerana 'Anas' tidak mengadu apa-apa kepada saya, kecuali sewaktu pulang, dia kata kepalanya pening.. Saya beranggapan, dia mungkin keletihan kerana menghabiskan masa pagi hingga ke petang menemani saya memancing..

Mungkin lambat bertindak mengubatinya, Anas demam dan tidak kesekolah pada keesokan harinya...

"Anas, maafkan abah..."

Monday, February 9, 2009

PANTANG ADA CUTI, PASTI KE KOLAM MANCING!

Kalau dah namanya kaki mancing, pantang ada cuti, pasti diperuntukkan meski sehari- waktu untuk keluar mancing.

Memandangkan banyak kolam memancing berbayar di daerah Hulu Langat ini, justeru sememang tidak ada masalah untuk mencari-cari di mana tempat untuk memenuhi hasrat melayan joran..

Baru-baru ini, abang saya yang tinggal di Cheras, menanyakan tempat yang menarik untuk memancing. Dia juga sudah lama tidak mengail. Joran dan kekili baru yang dibelinya pada tahun lepas juga belum 'dirasmikan' lagi!

Lantas saya mencadangkan kami memancing di Kolam Awie, Hulu Langat. Memandangkan saya telah lebih 10 kali menduga kail di kolam tersebut, serta meraih hasil tangkapan yang agak memberangsangkan, saya merasakan kolam tersebut pasti tidak mengecewakan sesiapa yang baru ingin melayan pancingan di situ.

Abang saya hadir bersama anak bongsunya, Sufiah, seperti dirancang. Cuma agak mengecewakan kerana kata abang saya, joran dan kekili baru yang dibelinya, hilang dikebas di hostel Syafique (tempat belajar anak lelakinya). Oleh itu, dia akan hanya menggunakan joran dan kekili lama.

Kami memancing di Kolam Awie selama tiga jam saja. Agak mendukacitakan, kali ini, saya tewas kerana bukan saja tidak dapat menangkap walau seekor ikan, malahan umpan juga jarang diusik!

Demi mengelakkan rasa hampa, saya 'membeli' ikan daripada sahabat yang turut memancing di situ, untuk diberikan kepada abang dan anak buah saya.. Rakan itu memberikan dua ekor rohu (sekilo lebih setiap seekor), dan tidak mahu menerima wang yang saya berikan. Tapi saya pula berasa tidak sedap jika mengambil ikan tersebut dengan percuma. Akhirnya rakan saya mengalah dan menerima wang yang saya berikan itu..

(Sebelum ini, apabila memancing beramai dengan rakan-rakan, jika hasil yang diperolehi banyak, kami membahagi-bahagikan sesama kami)

Kerana itu, apabila abang saya juga tidak mendapat hasil, saya yang beria-ia memberitahunya tentang menariknya kolam itu, merasakan 'tidak kena' pula seolah-olah 'indah khabar dari rupa'!

Dan semoga keenakan ikan rohu yang diberi itu, akan mendorong abang saya untuk mencuba lagi di Kolam Awie..

Thursday, January 22, 2009

REHATKAN MINDA...AYUH TONTON!

Sesekali, kita perlu merehatkan minda dengan menonton.. Saya, biasanya lebih suka menonton berita. Selain rancangan berbentuk sukan dan dokumentari, sesekali saya suka menonton sitkom komedi. (Jika berpeluang, saya lebih suka menonton teater)
Tidak kurang juga, klip video yang saya terima melalui email..
Klip video ini, meskipun tidak mengambil masa yang panjang, tapi cukup mencuit hati dan membekasi sesuatu di perasaan..
Saya rasa, kalian yang menontonnya, pasti terfikir "sesuatu" juga..
(Pelbagai tafsiran!)

Thursday, January 15, 2009

KLIP VIDEO HANTU LAGI.. YANG INI 'REAL'..?



Jika sebelum ini, klip video yang dipaparkan lebih kepada bahan lelucon, tapi yang ini menjurus kepada realiti. Dirakam oleh cctv, tidak menggunakan teknik 'superimpose'..

Saudara nilai sendiri..

(Bagi yang biasa balik lewat malam tu, harap berteman ler..)

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.