Sunday, November 25, 2012

KEMBALI MENGUJI 'JORAN RIMBA TEKALA, SEMENYIH'..

Seperti biasa, apabila mood memancing kembali mencakar..tiap kali tiba musim cuti, aktiviti 'rekreasi minda' yang pertama difikirkan adalah memancing. Perkara kedua, di mana sasaran nak dituju. Ketiga, jika ada kenalan yang ingin turut serta, adalah lagi bagus..
     Setelah beberapa tahun tidak mengail sama, dan dimulakan dengan aktiviti melayan joran dua minggu berturut-turut di Kolam DZ pada minggu lepas, sahabat saya sdr Razwan, meminta saya merancang program memancing sekerap mungkin.. Sudah tentu hasrat itu sukar dipenuhi kerana ada ketika ahli keluarga juga mempunyai hajat untuk beriadah dan sebagainya.
     'Semangat' memancing yang begitu kuat pada sdr Razwan, mendorongnya membeli peralatan pancing baru untuk digunakannya. Bagi memenuhi permintaannya, saya mengajak beliau mencuba-duga kolam Joran Rimba Tekala yang terletak tidak jauh dari Empangan Semenyih.
Lalu, pada pagi tadi (24 November), kami berdua menuju ke destinasi tersebut. Bayaran yang dikenakan masih sama seperti dulu, RM5 untuk  sebatang joran, dan ikan dikenakan RM6 bagi setiap sekilogram tanpa mengira spesis.
      Umpan yang kami gunakan, roti Gardenia, dedak 901 dan dedak pandan. Suasana pagi yang mulanya hujan, kemudiannya pada lewat pagi kelihatan cerah, amat mengujakan kami, tambahan pula terdapat banyak riak ikan bermain di air, di samping pemancing lain sering pula menaikkan ikan patin dan pacu.
         Alhamdulillah, sdr Razwan berjaya mendapatkan seekor patin manakala saya mendaratkan seekor rohu lebih 2 kg. Menurut petugas di kaunter, sebelum ini terdengar ramai pemancing yang merungut kerana katanya spesis rohu amat payah untuk memagut umpan sejak kebelakangan ini.
Tapi, sudah menjadi rezeki saya.. Spesis yang dicari pemancing lain, dapat saya tangkap...
Alhamdulillah..



Thursday, November 15, 2012

'MERIAH MERAIH REZEKI' DI HARI DEEPAVALI

Cuti perayaan Deepavali, terisi dengan aktiviti memancing. Saya telah merancang dengan Razwan untuk melayan joran di Kolam DZ Cheras. Kami berdua sudah lama tidak keluar memancing bersama. Justeru, hari ini adalah hari yang paling sesuai untuk kembali 'bermain-main' dengan joran!

Pemergian kami turut disertai abang saya, iaitu bro Sasman, yang hadir bersama anak-anaknya~ Syafiq dan Haziq. Seperti biasa, kami membawa umpan roti dan pelbagai jenis dedak.

Kolam DZ ni sudah agak berubah kerana terdapat kesan tambakan di sepanjang tepi kolam. Ini bagi mengelakkan berlaku hakisan terhadap rumah yang dihuni oleh Abang Hambali, tuanpunya kolam.
Namun, keadaan itu tidak menjejaskan hajat kami untuk memancing. 

Alhamdulillah, meskipun cuaca panas terik, semangat kami tidak luntur. Bahkan kekerapan ikan yang meragut umpan, membuatkan kami begitu seronok melayan joran.

Rata-rata kami dapat menaikkan ikan pelbagai spesis iaitu jelawat, rohu, tilapia, lampam dan patin. Bro Sasman tentunya amat berpuashati kerana berjaya mendapatkan patin seberat 2.5kg. InsyaAllah, Kolam DZ pasti menjadi destinasi memancing kami pada masa akan datang.

'MENCUBA NASIB' DI KOLAM UDANG CHERAS

   Sewaktu pulang dari uptown Bandar Tun Razak, sahabat saya Razwan, telah mengajak saya singgah ke sebuah kolam memancing udang yang terletak berhampiran SK Taman Cuepacs dan gelanggang badminton Challenger  di Cheras.
  Tanpa membawa sebarang peralatan memancing, kami singgah juga ke kolam tersebut. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM15 bagi sejam memancing. Joran dan umpan hati ayam disediakan.

Memandangkan sudah agak lama tidak memancing, kami pun menduga kolam tersebut. Kebetulan, rakan kami, Abang Halim, turut berada di situ bersama isterinya. Mereka kerap memancing di sini. Justeru, kami turut bertanyakan tentang keadaan kolam, peluang dan sebagainya, sebagai panduan untuk kami mengenali kolam ini... Satu hal yang menarik, pengunjung yang membawa isteri, isterinya boleh memancing secara percuma..

Kami hanya memenuhi masa sejam itu sebagai 'latihan' kerana tidak seekor pun udang yang berjaya kami naikkan.. InsyaAllah, cuba di lain kali!


Tuesday, September 18, 2012

BILAKAH BERPELUANG MENDAPAT IKAN SEBESAR INI..?

Rancangan 'River Monster' yang memaparkan pengalaman Jeremy Wade menangkap ikan bersaiz gergasi di seluruh dunia, amat menakjubkan. Tentu sekali pengalaman itu turut mengujakan setiap yang bernama pemancing..termasuklah tuan punya blog ini!

Teman taklah mampu menjelajah ke seluruh dunia untuk mengalami pengalaman sebegitu. Namun, jika berpeluang merasai tangkapan gadang seperti dalam klip video ini, sudah cukup memberikan kepuasan tak terhingga..

Soalnya, bila ya..?
:D

Wednesday, June 13, 2012

ASAL DAPAT LEPAS..

Luahan rasa~ "Asal dapat lepas 'gian'!"
Itu yang mampu diperkatakan..
Sejak banjir yang dialami 7 Mac lalu, hinggalah teman selesai menguruskan majlis perkahwinan puteri sulung teman pada 2 Jun lalu, akhirnya hasrat melayan joran dapat dipenuhi..
AlhamduliLlah..

Mengisi waktu minggu akhir cuti persekolahan, teman bersama anakanda Anas serta rakannya, Alif,  mengunjungi 'Kolam Dato' di Batu 11, Cheras.. Kunjungan kali ketiga ini, tanpa rakan-rakan dari PPD kerana ada yang pulang ke kampung dan sebagainya.



Hasil tangkapan mungkin tidak berapa lumayan, namun jumlah seberat 2.1kg yang diperolehi itu adalah daripada spesis tilapia, lampam, anak-anak patin dan seekor puyu. AlhamduliLlah..

Walaupun tempoh pancingan sekadar kurang 6 jam, tapi sekurang-kurangnya kepuasan tetap dirasai.. Dan, Anas dan rakannya, sekurang-kurangnya dapat belajar memancing pada hari itu..

AlhamduliLlah..



Friday, March 30, 2012

BANJIR~ GANTUNG JORAN!

Hujan yang berterusan selama beberapa jam pada lewat petang 7 Mac lalu, rupa-rupanya memberi kesan yang amat besar kepada warga Hulu Langat. Kawasan kami dilanda banjir!

Banyak tempat yang dinaiki air hingga ada sesetengah tempat mencapai paras 7 kaki. Mungkin ada yang lebih teruk dari itu, tetapi bagi Taman Seri Nanding, kedalaman banjir adalah berbeza. Di kawasan saya, air hampir ke paras pinggang, manakala ada rakan 'setaman' yang sekadar buku lali dan sekaki tinggi saja. Apapun, sememang ia tetap memberi kesan terhadap perabot, barangan elektrik dan lain-lain yang turut musnah dalam kejadian tersebut.

Air yang 'naik' begitu cepat~ seolah-olah ibarat paip besar yang mencurah-curah, membuatkan saya (mahupun jiran tetangga lain), tidak sempat menyelamatkan pelbagai dokumen penting, buku-buku akaun dan sebagainya. Tidak ketinggalan, segala peralatan memancing, majalah Kail, Pancing, Sirip, Joran dan Umpan, turut rosak dan musnah... Koleksi akhbar sisipan Joran (Berita Harian) yang telah saya kumpul sejak beberapa tahun dulu, juga tidak boleh 'dinikmati' lagi..

Musibah ini diterima dengan redha, kerana meyakini bahawa setiap takdir getir Ilahi, pastinya mengandungi hikmah yang kita tidak ketahui.. Semoga dengan berkat kesabaran, DIA akan menganugerahi sesuatu yang lebih baik lagi. InsyaAllah..

Sudah lebih 3 minggu banjir reda, namun kerja-kerja mengemas tetap berterusan. Satu yang nyata, joran perlu 'digantung' buat seketika..

(...dan hasrat melayan joran disimpan 'dalam-dalam'... huhu..)


Thursday, March 1, 2012

BER-“REKREASI MINDA” LAGI..

Pada hujung minggu lalu, saya berpeluang bersama-sama dengan rakan-rakan PPD untuk aktiviti “merehatkan minda, menenangkan jiwa”.. Keputusan yang diambil saat akhir, apabila dipelawa oleh sahabat saya sdr Amiluddin. Dia memberitahu saya, ramai ‘geng PPD’ akan join aktiviti santai kali ini.

Memandangkan ‘port’ yang disasarkan adalah tempat sama yang telah saya tulis dalam post terdahulu, saya terdorong untuk mengikut sama. Lagipun, apabila ada aktiviti ‘melayan joran’, maka adalah bahan untuk saya isi dalam blog ini.

Seperti biasa, saya keluar awal untuk bersarapan dahulu dengan sdr. Amiluddin. Manakala rakan yang lain~ En. Musa dan sdr Matseri bersama anak perempuannya, mengalas perut di tempat lain. Sdr Razak (& anak lelakinya), sdr Zuhairi, sdr Ridzuan dan sdr Halidon, menyusur kemudian.

Lokasi sasaran~ Kolam persendirian (Kolam Dato’) di Batu 10, Cheras. Kolam yang kami ‘tewas’ pada minggu sebelumnya kerana tidak mendapat hasil yang ‘lumayan’.

Kali ini, kami telah menyediakan umpan lebih awal. Sdr Zuhairi bermurah hati menyediakan umpan istimewa (pelet + Roti + perasa). Saya, seperti biasa dengan dedak (+ perasa pandan) dan roti Gardenia. Umpan cengkerik tidak dapat dibeli kerana kedai yang menjualnya belum dibuka (8 lebih pagi).

Suasana kolam yang tenang, tetapi terlihat riak ikan di air, menyebabkan semangat memancing meluap-luap! Dan sememang ‘sambutan’ yang diterima kami daripada penghuni kolam amat meriah!

Habuan tilapia, lampam dan belida sememang telah diduga. Namun, spesis rohu yang diidam-idamkan, dapat juga di’daratkan’. Sdr Zuhairi mendapat rohu seberat 1.8kg, dan saya, juga rohu seberat 3.5 kg. Alhamdulillah..

Saya hanya membawa pulang rohu itu, manakala ikan tilapia, lampam dan anak rohu yang saya dapat, saya ‘benarkan’ rakan-rakan lain mengambilnya.

Kawan-kawan turut mengusik saya~ “Wah, dah dapat yang besor, tak pandang dah yang kecik!”

Saya tergelak kecil sambil ‘menghirup kepuasan’.. Alhamdulillah..

Thursday, February 23, 2012

MELAYAN JORAN LAGI..

Pada hujung minggu lepas, saya menerima sms daripada rakan lama, sdr Amiluddin, yang memaklumkan bahawa rancangan memancing, "jadi!". Lantas, setelah pulang dari bersarapan dengan isteri dan ibu, saya memperkemaskan peralatan untuk 'memenuhi undangan' rakan saya itu.
Sasaran kami~ kolam persendirian seorang bekas Adun, yang terletak di Batu 10, Cheras. Kolam untuk kami pancing kali inipun, sebenarnya pelan daripada pegawai kami, En. Musa, kerana beliau yang mengenali pemilik kolam berkenaan. Seorang lagi rakan, En. Ahmad Zaki, datang bersama dua orang anaknya iaitu Izhar dan Syazmir.
Bayaran yang dicaj kepada setiap satu joran hanya RM3, manakala setiap sekilogram ikan yang ingin dibawa pulang, dikenakan sebanyak RM3 juga.
Pemandangan sekitar kawasan kolam ini amat menarik dan cantik. Terdapat 5 ekor rusa di kandang berhampiran, selain pokok-pokok buah dan getah yang memagari sepanjang kolam.
Penghuni kolam sememang banyak, menurut 'Uncle' yang mendiami rumah bekas Adun itu. Dikatakan ada jelawat, patin, rohu, lampam, baung, belida dan tilapia. (Dari pemerhatian secara kasar, kami yakin ada 'penghuni gadang' dalam kolam itu, melihatkan pada 'kelibat' ekor dan riak air..)

Sdr Amiluddin, En. Musa dan anak-anak En. Ahmad Zaki, menggunakan umpan cengkerik, manakala saya menggunakan umpan dedak pelbagai rasa dan roti Gardenia.
Ternyata semua umpan yang digunakan, 'diterima' penghuni kolam. Alhamdulillah, walaupun 'gagal' menaikkan patin dan rohu, sekurang-kurangnya tilapia bunga dan belida jadi habuan kami. Sebelum kami pulang, barulah kami mendapat tahu daripada isteri Uncle; "Biasanya ikan besar selalu bermain lewat petang hingga ke waktu maghrib!"
Aduhai! Mungkin lain kali kami perlu datang selepas asar untuk melayan joran di sini lagi..




Monday, February 6, 2012

KOLAM DANAU PINGGIRAN ~ANTARA YANG TERBAIK!

Sebaik mendapat info menerusi sisipan Joran, akhbar Berita Harian (3 Februari 2012), saya mencari lagi maklumat mengenai kolam ini di internet. Alhamdulillah, sedikit sebanyak membantu saya mengenal lokasi kolam yang menjadi sasaran saya pada kali ini.

Lantas pada pagi Ahad, semalam, saya bergerak menghala ke PICC, Putrajaya, selepas menikmati sarapan di Station Az, Kg. Melaka. Perjalanan mengambil masa lebih kurang setengah jam untuk tiba ke lokasi, memandangkan pada hari minggu jalan tidak sibuk berbanding hari bekerja.

Setibanya di Kolam Danau Pinggiran sekitar jam 9.30 pagi, saya dapati ramai pemancing sedang melayan joran. Suasana di seberang kolam yang kerap menaikkan ikan, membakar semangat saya untuk memancing. Saya menuju ke kaunter, dan membayar RM20 untuk 4 jam (minima 2 jam masa memancing, dan tambahan RM5 bagi setiap jam selepas itu).

Seperti biasa, dedak pelbagai rasa dan roti Gardenia yang saya bawa untuk diumpankan kepada penghuni kolam. Saya menyapa rakan pemancing di pondok sebelah, bertanyakan tentang hasil tangkapan dan sebagainya. Sekurang-kurangnya, ada maklumat yang berguna untuk saya yang kali pertama mencuba di kolam ini.

Saya difahamkan, cacing adalah umpan yang paling berkesan untuk memikat pacu pada waktu pagi. Tidak heranlah, 'Abang Din' (yang baru dikenali) di sebelah saya menaikkan pacu berturut-turut, sepanjang hampir setengah jam. (Saya tidak ada cacing, namun menggunakan umpan yang sedia ada yang dibawa dari rumah. )

Melihat keadaan ramai pemancing yang menaikkan hasil tangkapan ~ pacu, rohu dan patin, sudah cukup memberi keyakinan kepada pemancing baru kolam ini, bahawa kolam ini sememang 'ada ikan!'. Mana tidaknya, Abg Din mengumpul 10kg pacu yang kemudiannya 'menolaknya semula' kepada tauke kolam. Kumpulan pemancing bertiga di seberang kolam, difahamkan mengumpul 34kg pacu!

Joran saya 'terbang' disambar entah ikan spesis apa.. Patinkah, atau tongsan..? Kerana difahamkan, patin seberat 18kg dan temoleh 6.5kg pernah dinaikkan pemancing di kolam yang juga dikenali dengan nama 'Kolam Panjang Putrajaya' ini.. Rakan-rakan pemancing sebelah mengatakan ikan yang meragut dan menarik joran saya itu, spesis besar. Entahlah..

Alhamdulillah, joran Daiwa Appollo Classic saya tidak 'terbang hilang' begitu saja, kerana saya telah awal memasang tali pada pancang besi. Saya tidak ada pancing besi yang berkunci seperti Abg Din (yang katanya berharga RM40-RM50 sebatang). Sememang ada yang mengatakan pemancing banyak 'guna modal'. Seperti juga Abg Din tu, yang sanggup membeli 'umpan istimewa' berharga RM100 untuk 3 botol perasa strawberry dan pandan. Saya~ 'tak sanggup!'

Saya menghabiskan masa selama 5 jam (tambah sejam) dan pulang dengan hanya 4 ekor pacu, (2 ekor daripadanya telah dihantar ke rumah mentua untuk dirasa.. ).. Bagi saya, alhamdulillah..untuk pengalaman pertama di kolam ini, saya berpuashati dan pasti akan mengulang-mancing di Kolam Panjang Putrajaya.. InsyaAllah!




Sunday, January 22, 2012

MEMANCING PENAT!


Assalamu'alaikum wrt wbt.. Salam hormat buat para pengunjung..
Tentu pembaca mempunyai tafsiran yang berbeza dengan tajuk post kali ni.
Apakah sememang memancing itu memenatkan..?
Atau, memancing ni, penat..?
Sebenarnya, yang saya maksudkan ialah, saya "memancing penat!"BUKAN memancing ikan! Mungkin ada yang dapat menangkap maksud saya ini..

Tujuan tajuk post ditulis sebegitu kerana saya memang ingin memberitahu pembaca, saya memancing 'penat'. Bukan ikan yang bernama 'penat' (ada ke..?). Tapi saya maksudkan, saya HANYA mendapat kePENATan/keletihan..

Teruja dengan cerita seorang rakan sepejabat, yang suaminya mendapat ikan tilapia sebesar pinggan, lalu saya mengajak seorang sahabat untuk menduga kolam Lubuk Congkak di Batu 20, Hulu Langat. Sebenarnya, saya pernah memancing di kolam tersebut, tapi itu kira-kira 6-7 tahun dulu. Seingat saya, ikannya tidak memenuhi citarasa saya kerana berasa 'lombong'. Tapi itu cerita dulu. Sekarang ini, mengikut cerita rakan sepejabat itu, ikannya elok dan sedap.

Dengan semangat yang berkobar-kobar, saya menyiapkan segala 'peralatan perang' bagi menguji 'medan tempur' di Lubuk Congkak semalam. Setibanya kami di lokasi tersebut sekitar jam 10.00 malam, tidak ada seorang pemancing pun yang kelihatan. Namun itu tidak melunturkan semangat kami kerana kami berpendapat lagi kurang orang, lagi la baik peluang untuk mengaut hasil!

Berumpankan dedak dan roti Gardenia, kami melayan joran selama 3 jam (berbayar RM25), dengan menghadapi cabaran ikan yang teramat sedikit! Tidak mencabar langsung! Sahabat saya, Kamarul, setelah sejam menduga tanpa usikan ganas penghuni kolam, mood mancingnya telah menjunam terus! Saya masih mampu memujuk hati agar bersabar untuk menghabiskan baki masa pancingan.

Ternyata, kami hanya memancing penat sepanjang 3 jam di situ, tanpa sebarang hasil. Lebih mendukacitakan, ikan kurang meragut atau mengusik umpan. Walhal, umpan yang digunakan, itulah yang digunakan juga oleh suami kepada rakan sepejabat saya, yang katanya ikan tilapia di situ 'gadang sebesar pinggan'!

Sememang adat memancing, ada kala ada habuannya. Ada waktu, pulang dengan tangan kosong.
Bukan mudah nak jadi 'nelayan'!

Cuma, bagi saya, hasrat melayan joran telah tertunai..walaupun 'tiada bonus ikan'!
Jumpa lagi!

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.