Sunday, February 28, 2010

Kolam 'FISH VALLEY SEMENYIH' di Sri Haneco, Semenyih




Setelah mendapat tahu daripada seorang penjaga murid, saya dan Azhar berusaha mencari kolam yang diceritakan ini. Dianggarkan kira-kira hampir 40 km dari rumah, tapi disebabkan ada teman memancing, jarak tidak menjadi halangan.

Seperti biasa, semangat mencuba di 'port' baru begitu kuat, mendorong kami bertolak awal - bersama segala kelengkapan yang disediakan. Setibanya di Fish Valley Semenyih, suasana luasnya menambah rasa teruja.
Di kaunter pembayaran, saya difahamkan terdapat 3 jenis kolam pilihan untuk memancing. Kolam pertama- RM 6 sejam, minima 4 jam memancing. Ikan seberapa banyak yang dipancing boleh dibawa pulang.
Pilihan bagi kolam kedua - RM 5 bagi tempoh masa memancing dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Setiap ikan yang dipancing, jika ingin dibawa balik, perlu ditimbang mengikut harga jenis ikan. Contoh- setiap 1 kg tilapia = RM 15, rohu = RM 10, baung = RM 17 dsb. Bagi saya, harga di sini lebih mahal dibandingkan dengan tempat lain. Bagaimanapun, pekerja di kaunter itu menjelaskan bahawa ikan di sini sememangnya dijamin jenis terbaik.

Pilihan bagi kolam ketiga - RM 30 bagi sehari ( 7.00 pagi - 7.00 malam), atau RM 15 ( 3.00 petang - 7.00 malam). Di sini, ikan tidak boleh dibawa pulang. Hanya untuk tangkapan 'catch and release' saja. Kami diberitahu bahawa di kolam ini terdapat ikan 'Mekong' atau patin bersaiz gergasi seberat lebih 40 kg. (Kawan yang pernah mencuba di sini menasihatkan saya menggunakan tali utama sekurang-kurangnya 30 paun, memandangkan dia pernah tewas dengan tali 50 paun ketika bertarung dengan spesis 'Mekong' itu..)

Sekadar berkongsi pengalaman dengan para pemancing- bolehlah saya katakan sememang banyak ikan yang menghuni di kolam-kolam di sini. Cuma 'kesilapan' kami adalah tidak cuba membawa umpan hidup seperti anak udang, atau cengkerik dan lundi. Seorang pekerja kolam ada memberitahu saya bahawa umpan hidup juga sesuai bagi menarik baung atau keli dan haruan yang juga banyak terdapat di sini.

Percubaan awal kami, hanya direzekikan dengan seekor rohu dan patin sekitar 2 kg lebih. Mungkin kami akan cuba lagi melayan joran di sini di lain kesempatan.

Wednesday, February 17, 2010

'MELEPAS RINDU' DI KOLAM..

Jangan salah faham! Saya 'melepas rindu' bukan pada ikan. Bukan pada udang. Juga bukan pada kolam!

Sebetulnya, 'melepas rindu' pada sahabat yang 'telah berpisah'... Berpisah, kerana masing-masing akur pada haluan hidup mencari nafkah. Ustaz Yusri, telah bertukar ke UiTM Seri Iskandar, manakala (Dato') Yusof bakal berpindah ke Labuan kerana isteri dan anak-anaknya lebih awal berhijrah. (Tapi, bila tu, dato'..?)
* Dalam gambar- Ustaz Yusri berkemeja belang, manakala (Dato') Yusof ber-T-shirt hitam
Pertemuan sengaja dituju ke kolam memancing udang (Bintang, BMC), kerana suasana santai, relax dan 'sedikit menggugah'! Selain itu, minat yang sama menyebabkan pertemuan 'melepas rindu' pada sahabat-sahabat di kolam udang ini, terasa lama dan puas.

Kami melayan pancingan kurang tiga jam. Hasil tidaklah seberapa baik, namun yang penting- rasa kekeluargaan yang terjalin itu lebih utama.

Semoga ada lagi peluang untuk bersantai sambil melayan joran dan mengeratkan persaudaraan..

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Baru-baru ini, saya sekali lagi ke kolam udang Bintang di BMC, bagi melunasi 'free dua jam memancing' yang diperolehi daripada cabutan jackpot. Saya mengajak sahabat lama - Razwan, menemani. Kebetulan pula dia berada di rumah abangnya yang tidak jauh dari rumah saya.
* Gambar- atas kanan, Razwan. Gambar bawah - Zali, pemancing regular di Bintang, BMC
Dia yang pada mulanya sekadar hanya ingin melihat saya memancing, tiba-tiba teruja untuk mengail bersama setelah melihat saya menaikkan seekor udang harimau yang gadang. Dan alhamdulillah, malam itu kami dapat hampir dua puluh ekor udang harimau, yang dibahagi sama rata.

Razwan masih bertanyakan kepada saya- "Bila lagi mau mancing?!"

Thursday, February 4, 2010

SUNGAI LANGAT MASIH ADA 'HASIL'..

Sudah agak lama saya tidak memancing di kawasan Sungai Langat. Pada hal, kurang 100 kaki di belakang rumah, saya boleh melayan joran pada bila-bila masa -jika mahu. Dulu, jika tidak mengail, saya hanya memasang beberapa 'tajur' dan meninggalkannya semalaman. Beberapa tali pancing pada tajur terputus. Dan ada juga yang 'sangkut' anak-anak baung dan tilan.

Memang saya tahu, di Sungai Langat masih ada hasil istimewa idaman pemancing seperti kelah dan sebarau yang masih menghuni di dasarnya. Mungkin lubuk tidak banyak seperti suatu ketika dulu. Tapi 'keturunan' kelah masih boleh dinaikkan- sama ada kecil, mahupun yang gadang.

Bagi 'orang luar' yang berhajat 'mencuba nasib' di Sungai Langat, dinasihatkan membawa umpan seperti ulat buluh, lundi dan semestinya cacing. Umpan lain juga tidak mustahil diusik ikan putih/masai atau tilan.

Sahabat saya- sdra Najib dan sdra Khairuddin, yang rajin melayan joran di Sg. Langat- bergambar dengan hasil yang diperolehi..
*Najib dengan kelah sekitar 2 kg, manakala Khairuddin bersama sebarau Sg. Langat

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.