Monday, February 16, 2009

TANAM ANAK HIDUP-HIDUP..

Saya menerima satu lagi klip video yang agak menyayat hati..
Biarpun ianya sekadar lakonan semula, tapi amat berbekas di minda.

Ia memaparkan realiti yang berlaku dalam suku kaum di Amazon, di mana saban tahun beratus kanak-kanak dibunuh hidup-hidup atas dasar kepercayaan kuno kaum mereka.

Undang-undang purba dan kepercayaan kuno yang tidak mencerminkan kasih sayang terhadap anak-anak, sebaliknya menyerlahkan sifat kebinatangan yang diwarisi turun temurun - tanpa ada usaha untuk mengubahnya.

Klip video ini dikatakan dibuat berdasarkan pengalaman salah seorang yang terselamat daripada penganiayaan ditanam hidup-hidup..

Sebelum menontonnya, harap bersedia dengan unsur 18SG (+ 18SX ?) yang dipaparkan. Bukan tujuan sengaja menyiar bahan lucah @ porno. Tapi dengan niat agar perasaan kasih sesama insan terbentuk, lebih-lebih lagi terhadap anak-anak kecil yang masih putih bersih daripada segala noda dan dosa..

(Semoga anak cucu cicit kita tidak mengalami nasib yang sama.. Amiin)


Sunday, February 15, 2009

MENIMBA HASIL DI KOLAM TERATAK MADU, KG PASIR, SEMENYIH

Apabila merancang untuk memancing, Semenyih adalah lokasi pilihan kerana terdapat banyak kolam memancing berbayar yang menarik. Saya berhasrat untuk mencuba semua kolam memancing yang terdapat di sekitarnya kerana lebih berpuashati menguji sendiri kolam-kolam ini berbanding hanya mendengar daripada rakan yang pernah mengail di tempat berkenaan.

Pagi Sabtu lalu, saya dan kawan-kawan merancang memancing di Teratak Madu, Kg Pasir, Semenyih. Saya berkereta (sendirian), Cikgu Rukis menunggang motorsikal, manakala Cikgu Junaidi satu kereta dengan Ustaz Norizam.

Perjalanan dari pekan Batu 14 Hulu Langat merentasi bukit Jalan Sg Tekali ke destinasi, mengambil masa kira-kira 30 minit.

Kolam Teratak Madu hanya dibuka pada hujung minggu (Sabtu & Ahad) serta pada hari cuti umum. Bayaran dikenakan RM5.00 bagi sejam.

Ikan yang menghuni kolam ialah Patin, Tongsan, Rohu, Tilapia, Lampam dan Baung. Menurut kata keluarga tuanpunya kolam, paling besar ikan yang terdapat di kolam adalah patin seberat 20 kilogram!

Sesi awal memancing, kami hanya melayan ragutan tilapia merah dan lampam. Seperti biasa, ikan bersaiz kecil, kami 'catch & release'. Manakala saiz yang boleh dibuat lauk, kami masukkan ke dalam kumbu.
Cikgu Junaidi paling banyak menaikkan tilapia merah sebesar melebihi tapak tangan. (Sehinggakan dia memberikan beberapa ikan tilapia merah kepada Cikgu Rukis yang terpaksa pulang awal kerana isteri memintanya pulang untuk ke pasar)

(*Tumpuan memancing kami sedikit tergugah melihat sekumpulan anak dara berkereta MyVi yang datang turut melayan joran di seberang sana..)
Pada waktu tengah hari, kami beralih 'port' ke seberang kolam. Mengikut Cikgu Junaidi, di sana lebih sesuai kerana di situ tempat bermain spesis rohu.

Ternyata 'penghijrahan' kami berbaloi. Adegan bertarung dan menaikkan ikan lebih kerap. Joran saya juga nyaris terbang, tetapi kerana lebih awal diikat, hanya ikan yang terlepas -melepaskan kail mata rambai bersaiz 7 yang terbuka dan perambut dawai yang terbengkok..

*Ustaz Norizam sedang bertarung dengan rohu anggaran 2 kilogram

*Cikgu Junaidi membantu menyauk ikan melalui penangguk yang dibawa bersama
Kami memancing selama 6 jam dan perlu membayar RM30.00. Namun itu bukan masalah kerana trip kami kali ini dianggap memuaskan hati, dengan hasil patin, rohu, tilapia merah dan lampam yang dibahagi-bahagikan sesama kami.

Insya-Allah, jika ada ruang dan peluang, saya pasti akan memancing di Teratak Madu lagi..

Wednesday, February 11, 2009

MAAFKAN ABAH, ANAS!

Mengapa saya mohon maaf daripada 'Anas'..? Apa kesalahan yang saya dah buat terhadapnya..? 'Anas', tu anak saya kah..?

Ya, 'Anas' - anak saya. Satu-satunya anak lelaki saya. Tunggal. Tidak ada dua atau lebih.

Berbeza dengan saya, ada lima beradik lelaki. Tapi 'Anas', hanya seorang. Empat yang lain perempuan.

'Anas' beria-ia mengikut saya memancing pada cuti Tahun Baru Cina baru-baru ini. Kami tidak pulang ke Johor Bahru, memandangkan sekolah hanya bercuti selama empat hari.

Lokasi yang disasar untuk memancing- Seri Bayu Tekala, Semenyih. Saya sudah bertahun tidak memancing di sini, kerana dulu- ikan yang kami dapat, tidak enak dan berasa lumpur. Geng mancing yang lain juga mengatakan yang sama.

Tapi sejak tahun lepasSeri Bayu Tekala kerap mengadakan pertandingan memancing, hampir setiap bulan. Makluman mengenainya sering disiarkan dalam akhbar sisipan Joran, Berita Harian, setiap Jumaat.

Khabar daripada rakan lain, tempat ini antara pusat memancing yang menarik kerana ikan yang terdapat di kolam di sini "gadang-gadang"(besar-besar).

Bayaran memancing- RM25 bagi empat jam, dan deposit RM10. (Seingat saya, dulu cuma RM20 bagi empat jam, tiada deposit dan boleh guna dua batang joran). Bermakna pemancing perlu membayar RM35 untuk pancingan selama empat jam. RM10 akan dikembalikan jika tidak menambah masa (RM5 setiap jam berikut).

Seperti biasa, 'Anas' menjadi pengikut setia membantu membawa peralatan dan sebagainya. Saya belum mahu mengajarnya memancing kerana dalam usia hampir 11 tahun, saya belum ingin melihatnya 'membiasakan diri melayan joran'. Kalau dah berminat, dikhuatiri nanti 'ketagih' pula! Insya-Allah, jika dia sudah bersekolah menengah, baru saya akan membimbingnya memancing..

Kami memancing selama empat jam. Ada ikan yang mengusik umpan, tapi tidak kerap dan tidak 'ganas'.. Dari seberang kolam, kami lihat ada yang menaikkan ikan patin (kecil dan besar), keli afrika (lebih 8 kilogram), tilapia merah, dan pacu.

Ikan banyak bertumpu di kawasan tengah (kolam utama). Pemancing biasa tentunya sudah tahu lokasi ikan berkumpul. Bagi yang baru -seperti kami (meskipun pernah sekali memancing di sini, dulu)- belum mampu 'membaca kawasan' ikan..

Setelah empat jam tanpa hasil, kami pun berkemas untuk pulang. Saya yang masih belum puas memancing, menanyakan jika 'Anas' sudah berasa letih untuk ikut memancing di tempat lain. 'Anas' kata, "Terpulang pada abah.. Anas ikut aje"
c
Lantas saya mengajaknya melayan pancing di Kolam Awie pula.. Dan alhamdulillah, ada hasil yang diperolehi meskipun tidak lumayan!

Di rumah, saya terkejut apabila isteri memberitahu- Anas terpijak sengat ikan patin yang saya perolehi di Kolam Awie tadi. Saya tidak tahu kerana 'Anas' tidak mengadu apa-apa kepada saya, kecuali sewaktu pulang, dia kata kepalanya pening.. Saya beranggapan, dia mungkin keletihan kerana menghabiskan masa pagi hingga ke petang menemani saya memancing..

Mungkin lambat bertindak mengubatinya, Anas demam dan tidak kesekolah pada keesokan harinya...

"Anas, maafkan abah..."

Monday, February 9, 2009

PANTANG ADA CUTI, PASTI KE KOLAM MANCING!

Kalau dah namanya kaki mancing, pantang ada cuti, pasti diperuntukkan meski sehari- waktu untuk keluar mancing.

Memandangkan banyak kolam memancing berbayar di daerah Hulu Langat ini, justeru sememang tidak ada masalah untuk mencari-cari di mana tempat untuk memenuhi hasrat melayan joran..

Baru-baru ini, abang saya yang tinggal di Cheras, menanyakan tempat yang menarik untuk memancing. Dia juga sudah lama tidak mengail. Joran dan kekili baru yang dibelinya pada tahun lepas juga belum 'dirasmikan' lagi!

Lantas saya mencadangkan kami memancing di Kolam Awie, Hulu Langat. Memandangkan saya telah lebih 10 kali menduga kail di kolam tersebut, serta meraih hasil tangkapan yang agak memberangsangkan, saya merasakan kolam tersebut pasti tidak mengecewakan sesiapa yang baru ingin melayan pancingan di situ.

Abang saya hadir bersama anak bongsunya, Sufiah, seperti dirancang. Cuma agak mengecewakan kerana kata abang saya, joran dan kekili baru yang dibelinya, hilang dikebas di hostel Syafique (tempat belajar anak lelakinya). Oleh itu, dia akan hanya menggunakan joran dan kekili lama.

Kami memancing di Kolam Awie selama tiga jam saja. Agak mendukacitakan, kali ini, saya tewas kerana bukan saja tidak dapat menangkap walau seekor ikan, malahan umpan juga jarang diusik!

Demi mengelakkan rasa hampa, saya 'membeli' ikan daripada sahabat yang turut memancing di situ, untuk diberikan kepada abang dan anak buah saya.. Rakan itu memberikan dua ekor rohu (sekilo lebih setiap seekor), dan tidak mahu menerima wang yang saya berikan. Tapi saya pula berasa tidak sedap jika mengambil ikan tersebut dengan percuma. Akhirnya rakan saya mengalah dan menerima wang yang saya berikan itu..

(Sebelum ini, apabila memancing beramai dengan rakan-rakan, jika hasil yang diperolehi banyak, kami membahagi-bahagikan sesama kami)

Kerana itu, apabila abang saya juga tidak mendapat hasil, saya yang beria-ia memberitahunya tentang menariknya kolam itu, merasakan 'tidak kena' pula seolah-olah 'indah khabar dari rupa'!

Dan semoga keenakan ikan rohu yang diberi itu, akan mendorong abang saya untuk mencuba lagi di Kolam Awie..

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.