Sunday, November 25, 2012

KEMBALI MENGUJI 'JORAN RIMBA TEKALA, SEMENYIH'..

Seperti biasa, apabila mood memancing kembali mencakar..tiap kali tiba musim cuti, aktiviti 'rekreasi minda' yang pertama difikirkan adalah memancing. Perkara kedua, di mana sasaran nak dituju. Ketiga, jika ada kenalan yang ingin turut serta, adalah lagi bagus..
     Setelah beberapa tahun tidak mengail sama, dan dimulakan dengan aktiviti melayan joran dua minggu berturut-turut di Kolam DZ pada minggu lepas, sahabat saya sdr Razwan, meminta saya merancang program memancing sekerap mungkin.. Sudah tentu hasrat itu sukar dipenuhi kerana ada ketika ahli keluarga juga mempunyai hajat untuk beriadah dan sebagainya.
     'Semangat' memancing yang begitu kuat pada sdr Razwan, mendorongnya membeli peralatan pancing baru untuk digunakannya. Bagi memenuhi permintaannya, saya mengajak beliau mencuba-duga kolam Joran Rimba Tekala yang terletak tidak jauh dari Empangan Semenyih.
Lalu, pada pagi tadi (24 November), kami berdua menuju ke destinasi tersebut. Bayaran yang dikenakan masih sama seperti dulu, RM5 untuk  sebatang joran, dan ikan dikenakan RM6 bagi setiap sekilogram tanpa mengira spesis.
      Umpan yang kami gunakan, roti Gardenia, dedak 901 dan dedak pandan. Suasana pagi yang mulanya hujan, kemudiannya pada lewat pagi kelihatan cerah, amat mengujakan kami, tambahan pula terdapat banyak riak ikan bermain di air, di samping pemancing lain sering pula menaikkan ikan patin dan pacu.
         Alhamdulillah, sdr Razwan berjaya mendapatkan seekor patin manakala saya mendaratkan seekor rohu lebih 2 kg. Menurut petugas di kaunter, sebelum ini terdengar ramai pemancing yang merungut kerana katanya spesis rohu amat payah untuk memagut umpan sejak kebelakangan ini.
Tapi, sudah menjadi rezeki saya.. Spesis yang dicari pemancing lain, dapat saya tangkap...
Alhamdulillah..



Thursday, November 15, 2012

'MERIAH MERAIH REZEKI' DI HARI DEEPAVALI

Cuti perayaan Deepavali, terisi dengan aktiviti memancing. Saya telah merancang dengan Razwan untuk melayan joran di Kolam DZ Cheras. Kami berdua sudah lama tidak keluar memancing bersama. Justeru, hari ini adalah hari yang paling sesuai untuk kembali 'bermain-main' dengan joran!

Pemergian kami turut disertai abang saya, iaitu bro Sasman, yang hadir bersama anak-anaknya~ Syafiq dan Haziq. Seperti biasa, kami membawa umpan roti dan pelbagai jenis dedak.

Kolam DZ ni sudah agak berubah kerana terdapat kesan tambakan di sepanjang tepi kolam. Ini bagi mengelakkan berlaku hakisan terhadap rumah yang dihuni oleh Abang Hambali, tuanpunya kolam.
Namun, keadaan itu tidak menjejaskan hajat kami untuk memancing. 

Alhamdulillah, meskipun cuaca panas terik, semangat kami tidak luntur. Bahkan kekerapan ikan yang meragut umpan, membuatkan kami begitu seronok melayan joran.

Rata-rata kami dapat menaikkan ikan pelbagai spesis iaitu jelawat, rohu, tilapia, lampam dan patin. Bro Sasman tentunya amat berpuashati kerana berjaya mendapatkan patin seberat 2.5kg. InsyaAllah, Kolam DZ pasti menjadi destinasi memancing kami pada masa akan datang.

'MENCUBA NASIB' DI KOLAM UDANG CHERAS

   Sewaktu pulang dari uptown Bandar Tun Razak, sahabat saya Razwan, telah mengajak saya singgah ke sebuah kolam memancing udang yang terletak berhampiran SK Taman Cuepacs dan gelanggang badminton Challenger  di Cheras.
  Tanpa membawa sebarang peralatan memancing, kami singgah juga ke kolam tersebut. Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM15 bagi sejam memancing. Joran dan umpan hati ayam disediakan.

Memandangkan sudah agak lama tidak memancing, kami pun menduga kolam tersebut. Kebetulan, rakan kami, Abang Halim, turut berada di situ bersama isterinya. Mereka kerap memancing di sini. Justeru, kami turut bertanyakan tentang keadaan kolam, peluang dan sebagainya, sebagai panduan untuk kami mengenali kolam ini... Satu hal yang menarik, pengunjung yang membawa isteri, isterinya boleh memancing secara percuma..

Kami hanya memenuhi masa sejam itu sebagai 'latihan' kerana tidak seekor pun udang yang berjaya kami naikkan.. InsyaAllah, cuba di lain kali!


Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.