Saturday, December 20, 2008

Takut Jumpa Hantu D Siang Hari..?

Saya pernah ditanya-
"Pernah tak jumpa 'sesuatu', waktu memancing..?"
Jawab saya-
"Maksud awak, hantu? Ada!"

Betul, ada. Tapi bukan cerita hantu yang nak saya paparkan dalam entri pada kali ini. Kisah hantu atau 'yang sewaktu dengannya', sedap diceritakan pada waktu tertentu saja. Apa yang saya hendak paparkan, tercetus selepas menonton klip video ini..

Video ini merupakan satu iklan Siam. Bayangkan jika kita mampu melihat 'benda-benda ghaib' itu di siang hari. Apa perasaan..?


Saturday, December 13, 2008

Bercuti ke Chalet Resang Indah, Tanjung Resang, Mersing

Cuti panjang membuka peluang untuk saya sekeluarga beristirehat dalam ruang berbeza- jauh dari kesibukan kota, serta keluar dari suasana dusun dan desa.
Sebelum ini, ada rakan yang mengajak saya mengikut rombongan/berkonvoi ke pantai timur. Tapi, anak-anak dara saya tidak berminat beraktiviti sebegitu. Mereka lebih gemar bereakreasi sesama ahli keluarga saja. (Dari satu segi, sememang baik bagi merapatkan hubungan sesama anggota keluarga sendiri. Dari sudut yang lain, mungkin orang akan beranggapan mereka 'tidak campur orang'! Dan sebagai bapa, tentu sekali berperanan membimbing anak-anak agar memahami konsep persahabatan dan batas pergaulan.)

Destinasi percutian saya, dari Johor Bahru, ke Mersing. Jarak yang perlu dilangkaui adalah sekitar 160km, mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan (bergantung kepada had kelajuan). Kami menempah chalet pada bulan November lalu, bagi mengelakkan sebarang kesulitan di saat akhir, lebih-lebih lagi waktu cuti persekolahan.

Sebaik tiba di Chalet Resang Indah, hati sudah terpaut dengan keindahan alam ciptaan Tuhan. Kawasan chalet yang lapang, pemandangan bukit dan pantai di sekelilingnya, gelora laut yang bergulung berombak menyentuh pantai, saujana mata memandang.



(*Terdapat beberapa jenis chalet yang sesuai untuk dipilih pengunjung)


(*Keadaan bilik sememang selesa untuk merehatkan segala-gala..)

Meskipun masih letih setelah 'menjelajah' daerah Mersing, namun segalanya terlerai apabila kaki menjejaki pesisiran pantai. Cuma, mungkin pada waktu ini (Disember, musim tengkujuh) kurang sesuai untuk aktiviti mandi manda. Tuanpunya chalet, En. Azmal Mahmud menyatakan, bulan Januari hingga September adalah masa yang paling sesuai untuk menikmati keindahan pantai Tanjung Resang.

Apapun, kami tetap bersyukur kerana tetap berpeluang berehat -minda dan fizikal- di sini sepanjang tiga hari dua malam. Kami tidak merancang apa-apa aktiviti. Hanya sekadar berehat, bergambar, 'makan-makan' dan berbual-bual dengan tuanpunya chalet yang merupakan saudara dan kenalan lama saya. Mungkin jika berpeluang ke sini lagi, saya akan melayan joran pula!

(*Adik dan ipar bekerja keras mnyiapkan barbeque untuk dua malam berturut-turut!)

(*Kanak-kanak adalah yang paling seronok dengan aktiviti 'makan-makan' ni..)
Chalet Resang Indah menyediakan beberapa jenis chalet dengan harga yang berpatutan. Para penyewa di chalet ini juga boleh menempah makanan yang dimasak 'special' oleh isteri tuanpunya chalet, Pn. Zainab Zainal.

(*Bergambar kenangan sebelum kami pulang ke Johor Bahru)



(*'Taukeh' Chalet Resang Indah, En. Azmal Mahmud & isteri, Pn. Zainab Zainal)

Sila layari laman web Chalet Resang Indah untuk maklumat lanjut, seperti alamat berikut ;
http://www.resangindahchalet.com

Wednesday, November 26, 2008

Menduga Kolam Awie, Sungai Gahal

Cuti sekolah sememangnya membuka ruang dan peluang bagi saya untuk melayan minat memancing. Meskipun rakan rapat yang kaki memancing, ada yang bekerja (swasta), manakala rakan guru pula ada yang pulang ke kampung serta terlibat dengan pelbagai program keluarga, itu tidak menyekat saya untuk pergi memancing seorang diri.
Pada mulanya, saya merancang untuk melayan joran di Sukida Resort, Semenyih - tempat favorite saya. Tapi kemudiannya saya mengubah rancangan untuk pergi mencuba kolam memancing yang terletak kurang 10 minit dari rumah saya.

Kolam Memancing Awie, yang terletak di Kampung Sungai Gahal, khabarnya telah dibuka sejak April lalu. Setelah dua kali mencari lokasinya sebelum ini, akhirnya saya temui juga kolam tersebut. Sebaik menjejak ke tempat berkenaan, semangat dan minat saya membuak-buak untuk kerap memancing di sini. Pemandangan persekitarannya amat mendamaikan. Selain itu, kawasan untuk melabuh pancing juga bersih dan selesa. Surau turut disediakan kepada pemancing.
Pada sesi memancing kali ini, isteri dan anak lelaki (tunggal) juga ingin turut serta. Saya sebenarnya sudah biasa memancing berseorangan, atau dengan kawan. Tapi memandangkan cuti sekolah, saya membenarkan anak isteri ikut sama.

Seperti biasa, saya menggunakan umpan roti dan dedak 'bomb'. Saya lebih selesa menggunakan kail mata rambai, berbanding dua mata. Joran bersaiz sederhana dan mesin kekili jenis Lemax.
Bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM20 bagi tiga jam pertama. Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. (Saya sebenarnya akan berpuas hati jika memancing dari pagi hingga ke petang, seperti selalu di Sukida Resort. Tapi di Kolam Awie ini, perlu juga memikirkan kos yang perlu dibayar jika memancing dalam tempoh yang lama!)
Saya mendapati umpan roti tidak berkesan di sini. Umpan dedak dan pelet memang berjaya menarik ikan-ikan di sini. Walaupun dikatakan ikan yang terdapat di dalam kolam ialah tilapia, patin, keli, rohu dan leekoh, namun sasaran saya tetap si patin!

Alhamdulillah, saya berjaya mendaratkan empat ekor patin yang sederhana besar untuk dibawa pulang pada sesi memancing pada kali ini. (Suka punya fasal, sampai terlupa untuk merakam keempat-empat ekor patin itu!)
Insya-Allah, saya akan mengulang -meluang masa untuk mengail di Kolam Awie lagi..

*Catatan- Kepada sesiapa yang ingin memancing di sini, jika dari pekan Hulu Langat (Batu 14), bolehlah menghala ke SMK Abdul Jalil (SMKAJ. Dari laluan masuk SMKAJ, jalan terus ke penghujung jalan, belok ke kanan. Di situlah terletaknya KOlam Memancing Awie yang dibuka 24 jam. Selamat memancing!

Tuesday, November 18, 2008

Lagi Makanan Yang Menyelerakan..?

(Kebelakangan ini, saya kebuntuan idea untuk memasukkan kisah berkaitan memancing. Sebab, barangkali kerana tidak turun ke kolam memancing.. Meskipun Sungai Langat terletak hanya hampir 30 meter di belakang rumah, tapi saya sudah tidak 'berselera' memancing berdekatan rumah.. Saya lebih selesa dan 'berselera' memancing di kolam berbayar kerana biasanya ikan-ikan yang terdapat di dalamnya 'berbaloi' dengan wang yang dibayar..)

Jika dua entri sebelum ini berkaitan 'selera', ini satu lagi klip video yang membuka ruang kepada kita untuk menilai 'selera' kita - sesuaikah dengan video yang dipaparkan?


(Catatan - Dulu, sewaktu 5 tahun lebih tinggal di Flat Razak Mansion, Jln Sungai Besi, Kuala Lumpur, saya biasa melihat peniaga (Cina) melapah katak hidup dan menjualnya secara terbuka di pasar. Melihat rupa daging katak yang dilapah itu, cukup meloyakan! Urghhh...)

Saudara, sanggup..?

Sunday, November 9, 2008

Apabila Selera Kian Pelik..

Klip video ini saya terima beberapa bulan dulu..
Sememang selera manusia ni pelbagai, dan selalu ingin mencuba yang lain. Saya pasti, rakan-rakan yang menonton, tidak teruja untuk mencuba!
Saudara, bagaimana..?

Friday, October 31, 2008

Mari Tonton..

*Setelah melihat klip video ini, saya termenung sejenak..

Tuesday, October 28, 2008

Kembali Memancing di Sukida Resort, Semenyih


Sempena cuti Deepavali, saya dan Azhar telah merancang untuk melayan joran di Sukida Resort, Semenyih. Tempat ini menjadi pilihan kami kerana bayarannya yang agak murah, serta masa memancing yang lebih lama berbanding tempat lain. Setiap pemancing hanya perlu membayar RM 10 seorang (satu joran)untuk tempoh masa dari 8.00pagi hingga 9.oo malam. Ikan yang ditangkap, sekiranya ingin dibawa pulang, dikenakan bayaran RM 5 bagi setiap kilogram.

Selain itu, alam persekitaran tempat ini juga amat mendamaikan, dan tidak hairanlah tempat ini sering menjadi pilihan agensi kerajaan mahupun pihak swasta mengadakan 'family day', kem bina diri, motivasi dan sebagainya.

Saya dan Azhar tiba di Sukida Resort pada jam 9.01 pagi. Pada waktu begini, bilangan pemancing belum ramai. Di sini, terdapat beberapa kolam yang boleh dipilih para pemancing untuk menjadi lokasi pancingannya.

Saya, seperti biasa memilih kolam 'belakang' kolam utama sebagai tempat mencari habuan. Manakala Azhar, di kolam sebelah. Dia biasanya akan beralih ke tempat lain sekiranya tempat 'layanannya' tidak menarik (dalam kata lain, 'takdak yang mengusik').

Memancing di sini, saya biasanya menggunakan umpan roti (Gardenia, sebab ia lebih kenyal dan tak mudah peroi) serta dedak (Bomb) .

Waktu sekitar 9.00 pagi hingga ke tengah hari, biasanya ikan tilapia yang menyambar umpan. Spesis lain juga pernah kami dapat, antaranya lampam jawa, belida, sebarau. Tetapi spesis berkenaan sudah jarang diperolehi di sini. Sesekali ikan patung juga ada kala mengganggu dengan memakan umpan.
Spesis ikan pacu dan patin adalah ikan popular yang menjadi tarikan di sini, kerana ada yang mencapai berat lebih 5 kilogram ke atas. Biasanya, para pemancing akan melepaskan semula ikan-ikan terbesar dan terberat yang berjaya 'didaratkan', kerana berasa kerugian jika membayar sehingga RM 20 (keatas) bagi seekor ikan itu.
Jika berat ikan patin dianggarkan sekitar 1-2 kilogram, masih boleh dibawa pulang kerana 'berbaloi'.

(*Gambar menunjukkan tiga ekor kuda padi yang ada ketikanya jika pemancing terleka, kuda-kuda ini akan memakan umpan mahupun bekalan makanan kita yang terdedah..)
Untuk sesi memancing kali ini, saya berjaya mendapat beberapa ikan tilapia hitam yang sederhana besar dan seekor patin. Semuanya saya bawa pulang kerana harganya dikira berbaloi.

(*Ikan patin ni sedap dimasak asam pedas atau tempoyak, selain dibakar..tilapia hitam, bakar juga sedap..)
Berbanding dengan Azhar, dia hanya membawa pulang beberapa ekor ikan tilapia yang harganya tidak sampai RM 10. Begitupun, Azhar telah mencatat rekod tangkapan peribadi, setelah berjaya menaikkan seekor patin yang dianggarkan seberat 7 kilogram. Ikan itu menjadi perhatian pemancing lain yang mengambil kesempatan untuk bergambar dengan ikan tersebut.
Saya juga tidak melepas peluang bergambar dengan ikan itu, kerana saya selalunya yang mengambil gambar- jarang gambar saya yang diambil! Sekurang-kurangnya, ada kenangan untuk disimpan di diari ingatan..

(*Gambar kurang jelas kerana menggunakan kamera handphone. Saya tertinggal kamera digital di rumah..)
[*Kepada sesiapa yang berminat memancing di sini, jika datang dari pekan Batu 14 Hulu Langat, perjalanan hanya mengambil masa kira-kira 20 minit dengan melalui jalan ke Sungai Tekali menuju ke Empangan Semenyih.]

Sunday, October 19, 2008

Gantung Joran Di Musim Hujan, Layan Bowling Dengan Teman-teman...


Aduh, sebenarnya 'rindu' untuk memancing begitu kuat! Yalah, rasanya sejak persekolahan penggal kedua bermula, hingga kini saya belum berpeluang memancing. Dulu, sekurang-kurangnya sekali sebulan, saya akan pergi ke kolam memancing berbayar dengan kawan-kawan, melayan joran. Pernah juga ke tempat memancing 'sorang-sorang' bagi mengubat 'rindu' itu. Tapi sekarang..?
Bermula dua minggu lalu, kawan-kawan sekolah mengajak saya bermain bowling. Sukan bowling ni pun dah bertahun tidak saya 'layan'.
Justeru, demi memenuhi 'hajat' kawan-kawan, saya pun 'berbowling' juga akhirnya...
(Kali pertama bermain bowling, kira-kira 27 tahun dulu! Paling kerap 'berbowling' adalah sekitar 1990-1994..)
Kini, sejak dua minggu itulah, saya sudah beberapa kali kembali 'melayan' minat ini..
Dan satu perkara yang tidak mampu saya elakkan sekarang ialah 'ajakan bermain bowling'!
Aduhai...

Tuesday, October 14, 2008

SALAM LEBARAN...

Wednesday, October 8, 2008

SubhanAllah.. Maha Pencipta, Maha Bijaksana


SubhanAllah.. itu yang terungkap, apabila melihat emel yang diterima daripada adik.
Terus terang, saya sememang tidak pernah melihat ikan yang sedemikian rupa. Bertambah lagi kekaguman saya terhadap al-Khaliq, Maha Pencipta.
Saya amat berharap, akan berpeluang melihat spesis ikan lain yang pelik, menarik, yang belum saya lihat, walaupun tidak dapat menangkapnya!
Apa perasaan saudara, jika dapat memancing spesis ikan ini..?

Jika saya, rasanya mungkin sedikit cuak apabila nak menanggalkan mata kail di mulut ikan ini. Sebab? Bibir dan gigi ikan ini 'lain macam aje'..

Saturday, August 16, 2008

GAMBAR MENCERITA SEGALA!

Kali ini, tiada cerita atau berita berkenaan memancing yang ingin dikemukakan.
Tapi, gambar berkaitan haiwan - yang mencetuskan rasa kesedaran, betapa binatang yang lain 'kaum', boleh berbaik dan bermanja mesra.
Kita yang dijadikan Tuhan, sebagai makhluk paling beruntung dengan diberi-NYA akal fikiran, kekadang lebih bersikap 'kebinatangan'!
Maaf, saudara pembaca.. sekadar ingin menyuara rasa - benci kepada permusuhan kaum, sebaliknya sayangkan perpaduan melibatkan pelbagai bangsa di negara kita.
Saudara lihat potret berikut, dan nilailah dengan kehidupan kita...



Catatan - Selamat menyambut Bulan Patriotisma, "PERPADUAN TERAS KEJAYAAN"

Friday, August 8, 2008

SANGGUP MAKAN..?



Sewaktu menerima gambar ini, terkejut amat!
"Mak datuk... besornya..!"
"Erk! Udang apa ni..?"
"Udang kara ke..?"
"Entah!"
-pelbagai tandatanya yang menerjah di benak!

Saya, secara peribadi, belum pernah merasai udang kara. Spesis udang lain; udang galah, udang harimau, udang lipan, udang pepai, dan lain-lain yang murah dan mudah didapati di pasar tempatan, pernah saya cuba.

Udang spesis di atas, saya belum tahu bagaimana rasanya.. Tapi kalau ler sebesar itu, tak sanggup saya menjamahnya!

Saudara, bagaimana? Sanggup?!

Saturday, July 26, 2008

ANEH - Ikan Pelik Menyerah Diri..?

Adalah sesuatu yang menyeronokkan apabila ketika kita berada di tengah lautan, tiba-tiba kita terlihat sesuatu yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Saya pernah mengangankan melihat 'manusia atlantis', atau duyung sebenar (bukan wayang!) berada di depan mata! Tapi, angan-angan tetap sesuatu yang hanya indah dalam bayangan! Jika terjumpa sesuatu yang pelik dan aneh di laut, sungai atau di mana saja tempat memancing, tentu itu juga sesuatu yang menarik mengisi diari pengalaman. [Kecuali kisah 'misteri' yang dialami ketika memancing, itu hanya dikongsi dengan teman tertentu saja!]

Saya telah menerima email daripada seorang saudara yang mengirim foto ikan pelik ini. Tapi saya tidak pasti bila, kerana tiada catatan mengenainya. Rasanya sudah lama tersimpan dalam koleksi potret peribadi.
Berikut dipaparkan foto berkenaan mengikut urutan..



Melihat turutan foto yang dipaparkan, seolah-olah ikan itu sengaja menghala ke daratan, sebelum ia ditangkap oleh nelayan (?) yang mengekorinya.

Untuk mengatakan ikan itu dipancing, mustahil pula kerana tiada tanda ia menelan umpan ataupun dijaring.

Ada yang menganggap- inilah ikan yang dikatakan 'naga'. Walaupun sehingga kini, tidak ada bukti sahih yang mengaitkan ikan pelik itu sebagai 'naga'.

Penangkapan ikan ini kembali mengingatkan kita kepada ikan pelik yang ditangkap oleh askar Amerika sekitar 1960an dulu di perairan Vietnam, kalau tidak silap.
Cuba saudara pembaca bandingkan, ada persamaan antara ikan-ikan yang ditangkap itu..?

Sunday, June 22, 2008

'SEJAMBAK KEMAAFAN'

Salam buat saudara pengunjung, khasnya para teman pemancing.

Kebelakangan ini, aktiviti memancing amat terbatas. Selain disebabkan kesibukan tugas, faktor rakan pemancing yang sudah berpindah, hujan yang tidak menentu dan lain-lain, menjadi penyebab maklumat dalam blog ini jarang dikemaskinikan..

'Sejambak Kemaafan' jua, buat rakan-rakan yang mengharapkan info lokasi memancing terbaru dan menarik. Saya sememang belum berpeluang 'menduga-uji' tempat-tempat baru apabila sesi persekolahan kembali dibuka. [Betul, dulu dalam seminggu 2-3 kali melayan joran di Tepian Rimba, Sg. Serai - sama ada untuk mencari ikan, mahupun udang galah. Tapi waktu itu, semangat kuat teman-teman sekerja yang amat 'ghairah' mendapatkan hasil terbaik, mendorong diri memancing, meskipun keesokannya terpaksa pula berdepan mendidik anak murid..Itu dulu.]

Kini, dengan faktor kos kehidupan yang agak 'membebankan', kegiatan memancing juga terpaksa dihadkan.

'Sejambak Kemaafan'. Jika ada peluang dan kesempatan, insya-Allah, maklumat akan dikongsi bersama.. Insya-Allah...

*Gambar hiasan- Dik Pah dengan patin hampir 5kg yang dipancing pakciknya, Azhar, di Kolam Sukida Resort, Semenyih.

KEMAHIRAN INDIVIDU MENANGKAP IKAN


Ada berbagai-bagai cara untuk mendapatkan ikan. Kita boleh memancing dengan menggunakan joran, bubu, memukat atau menjaring, dan sebagainya. Atau cara paling mudah, pergi saja ke pasar!
Ada juga yang menggunakan tangan - ya, cuma sebelah tangan, mampu menangkap ikan dari tepi rakit/bot, seperti yang pernah saya tonton dalam Majalah 3 dulu. Kemahiran mereka ini hasil daripada latihan dan menjadi kebiasaan.
Apabila menonton klip video ini pula, saya berasa sungguh kagum.. Mereka menyelam seraya menggunakan kudrat untuk menaikkan ikan yang...aduhai..besar amat! Saudara ada kemahiran ini..? Saksikanlah...

Friday, June 6, 2008

Menguji Kolam di Bandar Tasek Kesuma, Semenyih

Pada 26 Mei lalu, saya memenuhi hajat seorang teman untuk memancing di sebuah kolam berbayar di Semenyih.
Selepas bersarapan bersama isteri di Ali Corner, saya bergegas menuju ke destinasi yang dimaksudkan. (Isteri pulang sendirian!) Saya biasanya tidak mahu teman menunggu lama, biarpun saya sendiri biasanya terpaksa berpeluh menanti kawan-kawan!

Setibanya di simpang kedua di Bandar Tasek Kesuma, saya terpaksa menunggu Azhar (yang tinggal di taman perumahan berdekatan iaitu di Pelangi Semenyih) kerana katanya membeli barang keperluan nanti.

Kami tiba sekitar jam 9.00 pagi. Bayaran masuk - RM12 untuk tiga jam pertama (RM10 sebagai deposit). Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. Jika memancing lima jam terus (RM27), dapat free sejam. Saya bertanyakan serba sedikit mengenai spesis ikan yang terdapat di kolam, serta umpan yang biasa digunakan. Penjaga kaunter memberitahu ikan yang banyak terdapat di sini adalah rohu, tilapia, patin. Umpan yang digunakan adalah dedak.

Kelihatan tidak sampai 5 orang pemancing sedang melayan joran masing-masing. Melihat keadaan kolam, sememang meriah dengan mainan ikan di permukaan kolam. Semangat untuk menduga kolam semakin berkobar-kobar.
Kami mengambil 'port' masing-masing.

Sememang agak teruji kesabaran tatkala ikan beberapa kali bermain di hujung kail. Apabila pemancing di seberang menaikkan beberapa tangkapan, kami berkeyakinan mungkin ada habuan untuk kami. Mungkin. Yalah, kali pertama menguji tempat ini, seronok juga jika ada hasil kenangan yang boleh dibawa pulang.

Joran saya mungkin terhumban ke dalam kolam akibat tarikan kuat ikan (ntah apa spesisnya?). Tapi saya telah mengikat awal di bawah mesin pada joran, supaya joran tidak tercampak ditarik ke kolam. Pengalaman di Sukida Resort serta di Bayu Tekala, telah memberi pengajaran agar lebih berhati-hati ketika mengail.

Agak geram juga setelah beberapa kali sempat 'bertarung' dengan ikan yang memagut umpan, namun beberapa kali juga terlepas... Mungkin juga kail tidak lekat betul di mulut ikan.

Pada waktu tengah hari, setelah menunaikan fardhu zohor, kehadiran pemancing bertambah ramai. Ada dua orang pemancing 'regular' telah meminta saya beralih 'port' ke bahagian tengah sedikit, kerana kata mereka tempat saya itu airnya tidak dalam. Dan bahagian tengah pula adalah tempat yang banyak ikan (tilapia). Saya menurut kerana saya sememang tidak tahu keadaan kolam itu bagaimana. Saya beralih ke tempat Azhar memancing. Saya perasan, wajah Azhar menunjukkan seolah-olah hampa dengan hasil pancingannya. Saya ada bertanyakan kepada beliau, dan beliau mengaku - kolam banyak ikan tapi 'tak menggigit'. Saya bersetuju dengannya, tapi berharap suatu hari nanti kami akan datang memancing di sini lagi.

Kami membuat keputusan untuk pulang pada jam 2.00 petang, kerana Azhar terpaksa pulang awal untuk mengambil isterinya yang sedang berkursus. Di kaunter pembayaran, penjaga tiket memberitahu kami ada sejam lagi (percuma) untuk memancing. Kami menyatakan terpaksa pulang kerana ada urusan lain.

Memang sedikit menghampakan, kerana saya belum puas memancing sebenarnya! Tapi memandangkan Azhar ingin pulang, saya terpaksa akur kerana kami datang bersama, dan ada baiknya pulang juga bersama.

Namun kolam memancing ini pasti menggamit kehadiran saya lagi. Saya akui, di kolam ini sememang banyak ikan, dan besar-besar pula. Saya nampak, ada yang hampir sebesar peha bermain di tepi kolam, tak jauh dari 'port' awal saya. Itu yang pasti!

Sunday, May 25, 2008

Selamat Tinggal Kenyir - 20 Mei 2008

Setelah 'berkampung' selama empat hari tiga malam, sudah tiba masanya untuk berangkat pulang...
Asrul, Ijam, Shahrul, Nizam, Kamarul dan Yusof, bekerjasama menyiang ikan untuk disimpan dan dibawa pulang.




Perjalanan bot yang tenang, memberi peluang untuk kami menikmati keindahan panorama Tasek Kenyir.

Tasek buatan manusia terbesar di Asia ini, turut dikunjungi pelawat dari luar negara. Sebab itu di sini, wujud beberapa resort untuk disewa oleh para pelawat luar.

Seperti awal kedatangan kami, perjalanan pulang juga mengambil masa selama hampir empat jam. Kami dikira bertuah kerana enjin yang bot yang kami naiki ini, masih baru dan laju.

Pemandu bot - sdr Faizal pula, meskipun tidak banyak cakap, tapi mesra senyuman. Beliau sememang berpengalaman memandu bot, jika dilihat pada keupayaannya mengendalikan bot sepanjang empat hari trip kami.

Agak sayu tatkala melihat Pakcik Yahya berlepas pergi setelah menurunkan kami di Empangan Kenyir.. Segala kenangan bersama beliau, kami hargai dan tersimpan di ingatan.

Trip kami mungkin dianggap kurang berjaya. Mungkin. Ini kerana ramai di antara kami yang tidak dapat menangkap kelah. Selain faktor 'air besar/tinggi', kemasukan hampir 20 buah bot pada hujung minggu, membantutkan hasrat kami untuk bebas dan puas memburu kelah.
Namun, pengalaman ini dikira baik kerana mampu menjalin ikatan persahabatan yang murni dan harmoni - khususnya di kalangan warga Shearn & Delamore.

*Bergambar kenangan di hadapan Empangan Kenyir, laluan masuk ke Tasek Kenyir.

* En. Raja (boss), bergambar bersama anak buah beliau, Joe, Ijam dan Asrul, dengan Prado yang akan membawa mereka pulang ke Kuala Lumpur.
Terlintas pula di fikiran penulis - bila lagi agaknya trip kita ke Kenyir? Mungkin selagi 'boss' belum menamatkan zaman bujangnya! Jumpa lagi di lain kesempatan!

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.