Sunday, May 25, 2008

Selamat Tinggal Kenyir - 20 Mei 2008

Setelah 'berkampung' selama empat hari tiga malam, sudah tiba masanya untuk berangkat pulang...
Asrul, Ijam, Shahrul, Nizam, Kamarul dan Yusof, bekerjasama menyiang ikan untuk disimpan dan dibawa pulang.




Perjalanan bot yang tenang, memberi peluang untuk kami menikmati keindahan panorama Tasek Kenyir.

Tasek buatan manusia terbesar di Asia ini, turut dikunjungi pelawat dari luar negara. Sebab itu di sini, wujud beberapa resort untuk disewa oleh para pelawat luar.

Seperti awal kedatangan kami, perjalanan pulang juga mengambil masa selama hampir empat jam. Kami dikira bertuah kerana enjin yang bot yang kami naiki ini, masih baru dan laju.

Pemandu bot - sdr Faizal pula, meskipun tidak banyak cakap, tapi mesra senyuman. Beliau sememang berpengalaman memandu bot, jika dilihat pada keupayaannya mengendalikan bot sepanjang empat hari trip kami.

Agak sayu tatkala melihat Pakcik Yahya berlepas pergi setelah menurunkan kami di Empangan Kenyir.. Segala kenangan bersama beliau, kami hargai dan tersimpan di ingatan.

Trip kami mungkin dianggap kurang berjaya. Mungkin. Ini kerana ramai di antara kami yang tidak dapat menangkap kelah. Selain faktor 'air besar/tinggi', kemasukan hampir 20 buah bot pada hujung minggu, membantutkan hasrat kami untuk bebas dan puas memburu kelah.
Namun, pengalaman ini dikira baik kerana mampu menjalin ikatan persahabatan yang murni dan harmoni - khususnya di kalangan warga Shearn & Delamore.

*Bergambar kenangan di hadapan Empangan Kenyir, laluan masuk ke Tasek Kenyir.

* En. Raja (boss), bergambar bersama anak buah beliau, Joe, Ijam dan Asrul, dengan Prado yang akan membawa mereka pulang ke Kuala Lumpur.
Terlintas pula di fikiran penulis - bila lagi agaknya trip kita ke Kenyir? Mungkin selagi 'boss' belum menamatkan zaman bujangnya! Jumpa lagi di lain kesempatan!

Hari Terakhir di Kenyir - 20 Mei 2008

Pada hari terakhir, suasana di Tasek Kenyir tidak semeriah seperti pada hari Sabtu-Ahad. Ini kerana ramai pemancing sudah pulang ke tempat masing-masing untuk bekerja. Berlainan dengan kami, kami sengaja mengambil cuti kerana menyedari keadaan di hari bekerja lebih tenang, dan kami lebih bebas memancing kerana pemancing tidak ramai.
Selepas subuh, aku, Kamarul dan Abg Zal (Pakcik)menjatuhkan kail untuk menduga apa saja ikan. Suasana begitu hening.. Memandangkan ramai teman masih tidur, kami pun membiarkan joran masing-masing dipancang di sisi bot (tajuh). Kami juga kemudiannya ZZZzz...
Pada awal pagi, En. Raja, Joe dan Ijam keluar ke Sg. Terenggan untuk mencari habuan terbaik. Mereka telah dimaklumkan bahawa kita akan bergerak keluar pada jam 10 pagi.
Sesi memancing diteruskan oleh rakan-rakan yang bangkit kemudian. Abg Zal, dan aku juga bersiap awal - mandi dan mengemaskan barang masing-masing untuk pulang. Yang lain seperti biasa, memancing di sisi bot.

* Pakcik Yahya dan Nizam sedang melayan lampam di sisi bot.
Dialog paling sinis tetapi lucu bunyinya daripada Pakcik Yahya ;
"Hai..lepas pokcik, pokcik.. Lepas pokcik, pokcik...."
Sememang sinis, tapi kami tetap tidak mengambil hati dengan usikan Pakcik Yahya. bahkan kami sebetulnya berasa kagum - dalam tempoh 5 minit, Pakcik Yahya berjaya menaikkan 3-4 ekor lampam, berbanding kami, dalam setengah jam, nak dapat seekor pun susah.. Seperti kata Nizam - " Naik koreh tangan ni!"

Kepulangan En. Raja, Joe dan Ijam yang begitu ceria, menggambarkan mereka telah mendapat sesuatu yang diidamkan. Dari jauh, Joe telah menunjukkan ikan di tangannya. Tidak syak lagi, kelah. Alhamdulillah... Ada juga pengubat hati, sebelum kami pulang..
Kemudian, apa lagi..? Masa untuk bergambar dengan spesis Raja Sungai ni...






* Gambar terakhir ini, menunjukkan hero sebenar kedua-dua ekor kelah tersebut - Ijam. yang lain tu, hanya 'posing' jer... Hihi...

Friday, May 23, 2008

Memancing di Sg. Terenggan - 19 Mei 2008

Malam tadi (18 Mei), suasana dalam bot bersebelahan kami agak kecoh. Ini kerana ada pemancing yang dipagut ular sawa air. Ular berkenaan berjaya dihapuskan. Alhamdulillah, pemancing tersebut tidak mengalami kecederaan serius. Tapi kesan daripada insiden itu, ada antara kami yang berasa cuak - mudah-mudahan kami tidak berdepan situasi yang sama!

*Asrul dan Ijam tidak pernah berputus asa untuk mendapatkan hasil yang lebih baik, meskipun terpaksa menggunakan bot tanpa enjin! Hanya kudrat empat kerat yang digunakan mereka.
Pada hari ketiga trip kami, rakan-rakan masih enggan mengaku kalah. Awal pagi, ada yang sudah keluar menjejak buruan. En. Raja, memang tidak jemu keluar dengan botnya, bagi mencari hasil, khususnya sebarau. Begitu juga dengan Joe, Asrul, Ijam - mereka membawa bot (kecil) untuk men'casting' di sekitar Sg. Terenggan.

*Asrul menunjukkan seekor toman yang berjaya ditawannya, lebih besar daripada tangkapan sebelum ini yang terjatuh ke dalam sungai.
Bagi yang tidak keluar untuk ber'casting', masing-masing melayang pancingan dari sisi bot. Masa inilah, kami mengumpul seberapa banyak lampam untuk dibuat lauk, mahupun stok untuk dibawa pulang ke Kuala Lumpur nanti.

*Khairul, antara yang rajin menduga lampam berdekatan bot.

*Tong berisi lampam, yang akhirnya penuh, dapat dibuat lauk untuk makan tengah hari, serta disejukdinginkan untuk dibawa pulang.
Sementara itu, Pakcik Yahya, tiba-tiba memberitahu kami mengenai kebocoran generator - yang menyebabkan air tidak dapat disedut ke tangki. Dan berdepan risiko bergelap, pada waktu malam nanti.
Namun, Pakcik Yahya mengambil inisiatif untuk menampal kebocoran itu (seperti yang terakam dalam gambar di bawah).

Sewaktu rakan-rakan, pergi mandi-manda ke dalam, aku, abg Zal (Pakcik), Nizam dan Khairul, bersembang-sembang dengan Pakcik Yahya. Pakcik Yahya tidak lokek untuk berkongsi pengalamannya - dari hal ikan toman sebesar bot, hinggalah ke cerita-cerita beliau berdepan maut- dibelit ular, bertembung dengan harimau, dan menembak beruang.Tak puas rasanya cerita beliau, tambahan pula aku tidak dapat merakamkan segala ceritanya, sama ada melalui pita rakaman, mahupun catatan kalam... Mungkin lain kali kot...?
Pada lewat senja, kami pun beralih 'port', keluar sedikit dari Sg. Terenggan. Kedudukan bot pun tidaklah terlalu hampir dengan daratan seperti semalam.. Sekurang-kurangnya, kami selamat sedikit daripada gangguan yang tidak sedap itu!

*Gambar menunjukkan sdr Faizal (pemandu bot) sedang memperbetulkan kedudukan bot (besar)sebelum kami berpangkalan di situ pada malam terakhir...

Thursday, May 22, 2008

Melayan Joran di Sg. Cacing - 18 Mei 2008

Pengalaman tidur di atas bot (besar) pada malam pertama, seolah bagaikan beradu di bilik suite hotel! Kedinginan malam membuatkan masing-masing mengerengkot bagai cacing kepanasan! (Mungkin sesuai dengan nama sungai ni!)
Aktiviti melayan joran pada hari kedua lebih meriah.

*Selain sebarau, En. Raja juga dapat menewaskan toman.
En.Raja (boss), rajin keluar 'casting' - sama ada berseorangan, ataupun ditemani Asrul dan Joe. Yang lain lebih suka memancing dari tepi bot. Spesis lampam paling banyak dilihat di kawasan persekitaran bot. Namun, rakan pemancing juga dapat menaikkan belida, merah mata, tengas dan baung (pada malamnya).

*Pakcik (Abg Zal) juga kerap menaikkan lampam

*Shahrul yang juga kali pertama ke Kenyir bersama penulis, berasa puas setelah turut 'mendapat lesen'. Ini mungkin hasil tunjuk ajar sifunya - Ucop (Yusof).

* Kerajinan Asrul 'memburu' ikan, ada kalanya berbaloi. Gambar ini sekadar untuk posing agaknya! Sebab? Untuk kali yang keberapa, setelah dapat menangkap ikan, dia terlepas ikan ke dalam sungai! (Atau dia ada niat 'catch & release' kot.. Hihi..)

*Khairul (cucu saudara abg Zal), meskipun merupakan peserta trip paling muda, namun agak matang dalam memancing.

* Kamarul menaikkan spesis 'merah mata' yang jarang mengena umpan.

Pada sebelah malamnya, setelah berpenat lelah bertarung (!) mencari ikan, ahli rombongan kami melepaskan segala lelah dengan berbual-bual serta bermain 'kandang'..

Puisi - KEMBARA KENYIR


Kususuri damai nurani
sepermai tasikmu
meski alam berwajah muram
sekelam langit
namun azam melukis bianglala
di segenap harap
menyingkir rintih letih
kembara.

Indah alam-Mu memukau
menginsafkan
betapa kerdilnya aku
di lengkung langit Kenyir.

Kembara ini mendekatkan
insan dengan Tuhan
menunjang iman
membekas aman.



- Tasek Kenyir,
17 Mei 2008

Mengail di Tasek Kenyir - 17 Mei 2008


Sasaran kami memancing di sini, tentunya si Raja Sungai - Kelah. Tidak sah jika ke Kenyir, tidak memburu kelah.
Asrul dan beberapa orang teman, bercadang membahagi-bahagi tempat sepanjang empat hari tiga malam di sini. Setelah perbincangan dibuat, tiga tempat disasarkan iaitu ; Gua Bewah, Lasir dan Sg. Terenggan.

Destinasi pertama, Gua Bewah dan Gua Taat, tempatnya sungguh tenang dan mendamaikan. Panorama yang indah, menggamit pemancing melabuhkan joran masing-masing dalam suasana yang tak mampu nak digambarkan..
Kami memancing di sekitar kawasannya, di daratan, casting atas bot (kecil) dan berdekatan jeti (kecil).

Aduhai.. sayang sekali, tempat yang cantik dan menarik ini, tidak memberikan hasil yang diidamkan.. Akhirnya kami membuat keputusan untuk beralih awal menuju ke Sg. Terenggan, sebelum maghrib.
Dalam perjalanan ke Sg Terenggan, kami dimaklumkan bahawa bot (besar) tidak boleh masuk ke sana kerana terdapat banyak bot di dalam, dianggarkan sekitar 10 buah. Yalah, hujung minggu, biasanya memang banyak bot yang datang ke Sg Terenggan, yang memang terkenal sebagai tempat memancing kelah, di samping mempunyai kawasan mandi manda di sungainya yang jernih.
Kami menurut nasihat Pakcik Yahya (tekong bot)agar kita 'berpangkalan' saja dekat Sg. Cacing. Setelah bot berlabuh, masing-masing mencubaduga baung, berumpankan cacing yang dibawa khas dari Kuala Lumpur!

*Gambar menunjukkan Joe yang seronok mendapat 'lesen memancing', manakala si Yusof pula sedang leka menggulung rokok daunnya..

*Kamarul berjaya menaikkan seekor baung yang sederhana besarnya.
Sememang pada malam itu, kami hanya dapat melayan baung, lebih tepat lagi - anak-anak baung saja!. Sesekali yang naik adalah belida, yang kurang besar untuk lauk beramai!

Wednesday, May 21, 2008

Kembara ke Kenyir - 17 Mei 2008

Pada 17hb Mei lalu, kami berkumpul di depan Pasar Gombak. Kumpulan seramai 11 orang pemancing ini, bertolak dengan 2 buah kereta dan sebuah 4WD. Sdr Asrul memandu Prado bersama En. Raja (yang kami panggil 'boss'), Ijam dan Joe. Pakcik Zal membawa keluarganya- Nizam (anak buah) dan Khairul (cucu saudara). Manakala aku bersama Shahrul dan Yusof, mengikuti Kamarul (Mad).

Bertolak pada jam 12.30 tgh mlm, kami tiba di r&r Temerloh pada jam 2.00 pagi. Kemudian kami meneruskan perjalanan dan berhenti solat di Masjid Sultan Mahmud, Dungun, pada pukul 5.40 pagi. Setelah menunaikan fardhu subuh, kami bertolak pula ke Kuala Berang jam 6.20 pagi. Kami bersarapan di samping membeli barang-barang keperluan untuk kegunaan di Kenyir nanti.

Kami bertolak dari pekan Kuala Berang dan tiba di depan Empangan Kenyir, pada jam 9.05 pagi.

Aduhai.. penantian suatu penyiksaan! Bot yang sepatutnya membawa grup kami, telah bertolak lebih awal dan membawa grup yang lain. tak tahulah mana silapnya, atau 'miscommunication', bot lain diatur untuk mengambil kami. Mungkin juga ada hikmah-Nya yang kami tak tahu.
Sementara menunggu ketibaan bot, En. Raja memasang bot, dibantu anak-anak buah beliau (firma guaman Shearn & Delamore)

Alhamdulillah, akhirnya hampir jam 11.00 pagi, bot sampai.. Barulah masing-masing nampak ceria...
Perjalanan dikatakan akan mengambil masa panjang - 4 jam dalam bot, menuju ke destinasi utama, Sg. Terenggan.. Memandangkan tempoh masa yang agak lama, ada teman yang mengambil peluang merehatkan badan setelah mengharungi perjalanan panjang semalaman.. Tidur!

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.