Saturday, October 22, 2011

BILA NAK GI MANCING..? URGHHH....

Rasanya sudah berbulan joran tergantung di dinding..
Dah bersawang...
Dah lama tidak mengumpan..
Dah lama tidak melayan kail..
*Syafiq dgn patin lebih 5 kg
Apabila tengok foto anak-anak buah dengan tangkapan patin sekitar 5kg, hati ni terasa dicakar-cakar untuk kembali memancing!
*Haziq dengan patin, juga sekitar 5 kg

Tak sabor nak tunggu cuti...



Thursday, September 8, 2011

"SALAM LEBARAN"

"TaqabbalaLlahu minna wa minkum.."
Semoga Allah menerima segala amalan kami dan kalian juga..

Rasanya masih belum terlewat, untuk saya mengungkapkan- "SALAM LEBARAN, MAAF ZAHIR & BATIN", buat para pengunjung blog ini, rakan blogger & pemancing, kenalan dan taulan, serta kaum muslimin dan muslimat.

Semoga ukhuwwah kita terus tulus berpanjangan, dan saling berhubung walaupun hanya di alam maya.
Wassalam.

Sunday, July 31, 2011

'BEREHAT DARI AKTIVITI MEMANCING.. AYUH, KITA BERAMAL DI BULAN PENUH KEBERKATAN.."

Assalamu'alaikum wrt wbt..
Didoakan semoga para sahabat dan rakan pemancing berada dalam keafiatan dan kebahagiaan hendaknya.

Umat Islam akan menjalani ibadah puasa dengan hadirnya bulan Ramadhan al-Mubarak. Justeru, ayuh kita hentikan sementara aktiviti memancing.. Bersama-sama kita melaksanakan ibadah puasa dengan penuh rasa kehambaan kepada-NYA.

Terlalu besar dan banyak hikmah yang terkandung dalam ibadah puasa. Ayuh, bersama-sama kita berusaha mengambil peluang menghayati fadhilat Ramadhan, agar kita dapat menambahkan kecintaan kepada al-Khalik..

Selamat berpuasa buat semua sahabat muslim muslimah. Semoga kita beroleh rahmat keberkatan dan rahmat keampunan daripada Ilahi.. Amiin..

Saturday, April 16, 2011

SERONOK MELAYAN DI JORAN RIMBA TEKALA, SEMENYIH



Satu lagi kolam memancing berbayar yang teman pemancing perlu cuba adalah Joran Rimba Tekala, yang terletak tidak jauh dari Empangan Semenyih. Jika pemancing dari Kuala Lumpur melalui Bukit Ampang ke Pekan Batu 14 Hulu Langat, masa yang diambil dari Pekan Batu 14 itu memakan masa kurang 20 minit.
Bayaran yang dikenakan kepada pemancing adalah sebanyak RM5.00 untuk tempoh masa dari 7.00 pagi ke 7.00 petang. Namun, sekiranya pemancing ingin membawa pulang ikan yang dikail, pemancing perlu membayar RM6.00 bagi sekilogram ikan tanpa mengira spesis.
Terdapat berbagai-bagai spesis ikan yang menghuni kolam ini iaitu patin, pacu, tongsan sisik halus, lee koh, rohu dan lain-lain. Meskipun terdapat dua kolam disediakan, namun kolam besar hanya dibuka untuk pertandingan saja.
Selain menjadi 'port' pilihan bagi pemancing, di sini juga ahli keluarga pemancing boleh bersantai dan bermandi-manda di sungai belakang yang terdapat di Joran Rimba Tekala. Kemudahan chalet dengan kadar bayaran yang amat berpatutan juga disediakan.
Mengapa perlu membazir wang yang banyak untuk mencari destinasi yang jauh dari ibu kota..? Joran Rimba Tekala yang terletak tidak jauh dari pinggir kota ini, dirasakan mampu memberikan sesuatu kelainan kepada pengunjung, kerana lokasinya yang tidak sesak dan amat 'privacy' buat mereka yang inginkan suasana tenang.. Cubalah!



Wednesday, December 15, 2010

'LATIHAN' UNTUK MENGEMBALIKAN SEMANGAT MEMANCING

Assalamu'alaikum wrt wbt..

Seperti yang pernah teman catatkan dulu, musim cuti sekolah adalah waktu yang paling tenang dan senang bagi teman untuk melayan joran. Justeru, apabila bercuti, semangat memancing begitu meluap-luap. Mula la memikirkan kolam yang mana nak disasarkan..

Begitupun, teman biasanya akan pergi ke Sukida Resort, Semenyih, sebagai 'latihan' untuk memupuk semangat, kesabaran dan 'mood' memancing ni. Dengan bayaran RM10 untuk satu joran, teman bebas memancing seberapa lama - bermula 8.00 pagi hingga 9.00 malam (waktu yang dibenarkan).

Di kolam tersebut, spesis ikan pacu dan patinnya bersaiz besar. Lantaran itu, pemancing biasanya akan melakukan 'catch and release' sekiranya mendapat ikan bersaiz gadang. Para pemancing cuma berminat untuk bergambar dengan tangkapan mereka.

Namun sekiranya ikan yang diperolehi itu ingin dibawa pulang, sebanyak RM5 dikenakan bagi setiap 1 kilogram ikan (semua spesis).

Apa yang ingin teman kongsikan adalah foto pacu bersaiz gadang yang berjaya ditangkap oleh sekumpulan pemancing pada hari teman ke sana. Nah..jika berhasrat, silakan mencuba di sana!

Thursday, October 14, 2010

LAMA 'GANTUNG' JORAN..

Assalamu'alaikum..
Salam ingatan kepada rakan pemancing dan blogger..
Agak lama, teman tidak kemaskini blog ini. Tentu saja disebabkan ketiadaan bahan yang ingin dimuat atau dikongsi dengan kalian.

Sebenarnya, teman sudah lama tidak memancing. Tiada waktu lapang, seperti dulu. Rakan pemancing juga ramai yang 'berhenti' memancing ketika musim persekolahan. Mungkin aktiviti 'melayan joran' akan disambung pada musim cuti persekolahan penghujung November nanti.
Bagi kaki pancing, apabila lama tidak melayan joran, tentu sekali rasa 'gian' memancing itu terasa amat mendesak!

Bagi teman, teman melepas 'rindu' untuk memancing dengan menonton rancangan 'Monster River', 'Mega Fish' dan 'Monster Fish' di TV Astro. Sesekali melayan video memancing di Youtube.

Di sini disertakan satu klip video- sekadar 'melepas rindu' pada aktiviti melayan joran..

Sunday, February 28, 2010

Kolam 'FISH VALLEY SEMENYIH' di Sri Haneco, Semenyih




Setelah mendapat tahu daripada seorang penjaga murid, saya dan Azhar berusaha mencari kolam yang diceritakan ini. Dianggarkan kira-kira hampir 40 km dari rumah, tapi disebabkan ada teman memancing, jarak tidak menjadi halangan.

Seperti biasa, semangat mencuba di 'port' baru begitu kuat, mendorong kami bertolak awal - bersama segala kelengkapan yang disediakan. Setibanya di Fish Valley Semenyih, suasana luasnya menambah rasa teruja.
Di kaunter pembayaran, saya difahamkan terdapat 3 jenis kolam pilihan untuk memancing. Kolam pertama- RM 6 sejam, minima 4 jam memancing. Ikan seberapa banyak yang dipancing boleh dibawa pulang.
Pilihan bagi kolam kedua - RM 5 bagi tempoh masa memancing dari 7.00 pagi hingga 7.00 malam. Setiap ikan yang dipancing, jika ingin dibawa balik, perlu ditimbang mengikut harga jenis ikan. Contoh- setiap 1 kg tilapia = RM 15, rohu = RM 10, baung = RM 17 dsb. Bagi saya, harga di sini lebih mahal dibandingkan dengan tempat lain. Bagaimanapun, pekerja di kaunter itu menjelaskan bahawa ikan di sini sememangnya dijamin jenis terbaik.

Pilihan bagi kolam ketiga - RM 30 bagi sehari ( 7.00 pagi - 7.00 malam), atau RM 15 ( 3.00 petang - 7.00 malam). Di sini, ikan tidak boleh dibawa pulang. Hanya untuk tangkapan 'catch and release' saja. Kami diberitahu bahawa di kolam ini terdapat ikan 'Mekong' atau patin bersaiz gergasi seberat lebih 40 kg. (Kawan yang pernah mencuba di sini menasihatkan saya menggunakan tali utama sekurang-kurangnya 30 paun, memandangkan dia pernah tewas dengan tali 50 paun ketika bertarung dengan spesis 'Mekong' itu..)

Sekadar berkongsi pengalaman dengan para pemancing- bolehlah saya katakan sememang banyak ikan yang menghuni di kolam-kolam di sini. Cuma 'kesilapan' kami adalah tidak cuba membawa umpan hidup seperti anak udang, atau cengkerik dan lundi. Seorang pekerja kolam ada memberitahu saya bahawa umpan hidup juga sesuai bagi menarik baung atau keli dan haruan yang juga banyak terdapat di sini.

Percubaan awal kami, hanya direzekikan dengan seekor rohu dan patin sekitar 2 kg lebih. Mungkin kami akan cuba lagi melayan joran di sini di lain kesempatan.

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.