Friday, June 6, 2008

Menguji Kolam di Bandar Tasek Kesuma, Semenyih

Pada 26 Mei lalu, saya memenuhi hajat seorang teman untuk memancing di sebuah kolam berbayar di Semenyih.
Selepas bersarapan bersama isteri di Ali Corner, saya bergegas menuju ke destinasi yang dimaksudkan. (Isteri pulang sendirian!) Saya biasanya tidak mahu teman menunggu lama, biarpun saya sendiri biasanya terpaksa berpeluh menanti kawan-kawan!

Setibanya di simpang kedua di Bandar Tasek Kesuma, saya terpaksa menunggu Azhar (yang tinggal di taman perumahan berdekatan iaitu di Pelangi Semenyih) kerana katanya membeli barang keperluan nanti.

Kami tiba sekitar jam 9.00 pagi. Bayaran masuk - RM12 untuk tiga jam pertama (RM10 sebagai deposit). Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. Jika memancing lima jam terus (RM27), dapat free sejam. Saya bertanyakan serba sedikit mengenai spesis ikan yang terdapat di kolam, serta umpan yang biasa digunakan. Penjaga kaunter memberitahu ikan yang banyak terdapat di sini adalah rohu, tilapia, patin. Umpan yang digunakan adalah dedak.

Kelihatan tidak sampai 5 orang pemancing sedang melayan joran masing-masing. Melihat keadaan kolam, sememang meriah dengan mainan ikan di permukaan kolam. Semangat untuk menduga kolam semakin berkobar-kobar.
Kami mengambil 'port' masing-masing.

Sememang agak teruji kesabaran tatkala ikan beberapa kali bermain di hujung kail. Apabila pemancing di seberang menaikkan beberapa tangkapan, kami berkeyakinan mungkin ada habuan untuk kami. Mungkin. Yalah, kali pertama menguji tempat ini, seronok juga jika ada hasil kenangan yang boleh dibawa pulang.

Joran saya mungkin terhumban ke dalam kolam akibat tarikan kuat ikan (ntah apa spesisnya?). Tapi saya telah mengikat awal di bawah mesin pada joran, supaya joran tidak tercampak ditarik ke kolam. Pengalaman di Sukida Resort serta di Bayu Tekala, telah memberi pengajaran agar lebih berhati-hati ketika mengail.

Agak geram juga setelah beberapa kali sempat 'bertarung' dengan ikan yang memagut umpan, namun beberapa kali juga terlepas... Mungkin juga kail tidak lekat betul di mulut ikan.

Pada waktu tengah hari, setelah menunaikan fardhu zohor, kehadiran pemancing bertambah ramai. Ada dua orang pemancing 'regular' telah meminta saya beralih 'port' ke bahagian tengah sedikit, kerana kata mereka tempat saya itu airnya tidak dalam. Dan bahagian tengah pula adalah tempat yang banyak ikan (tilapia). Saya menurut kerana saya sememang tidak tahu keadaan kolam itu bagaimana. Saya beralih ke tempat Azhar memancing. Saya perasan, wajah Azhar menunjukkan seolah-olah hampa dengan hasil pancingannya. Saya ada bertanyakan kepada beliau, dan beliau mengaku - kolam banyak ikan tapi 'tak menggigit'. Saya bersetuju dengannya, tapi berharap suatu hari nanti kami akan datang memancing di sini lagi.

Kami membuat keputusan untuk pulang pada jam 2.00 petang, kerana Azhar terpaksa pulang awal untuk mengambil isterinya yang sedang berkursus. Di kaunter pembayaran, penjaga tiket memberitahu kami ada sejam lagi (percuma) untuk memancing. Kami menyatakan terpaksa pulang kerana ada urusan lain.

Memang sedikit menghampakan, kerana saya belum puas memancing sebenarnya! Tapi memandangkan Azhar ingin pulang, saya terpaksa akur kerana kami datang bersama, dan ada baiknya pulang juga bersama.

Namun kolam memancing ini pasti menggamit kehadiran saya lagi. Saya akui, di kolam ini sememang banyak ikan, dan besar-besar pula. Saya nampak, ada yang hampir sebesar peha bermain di tepi kolam, tak jauh dari 'port' awal saya. Itu yang pasti!

No comments:

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.