Saturday, August 16, 2008

GAMBAR MENCERITA SEGALA!

Kali ini, tiada cerita atau berita berkenaan memancing yang ingin dikemukakan.
Tapi, gambar berkaitan haiwan - yang mencetuskan rasa kesedaran, betapa binatang yang lain 'kaum', boleh berbaik dan bermanja mesra.
Kita yang dijadikan Tuhan, sebagai makhluk paling beruntung dengan diberi-NYA akal fikiran, kekadang lebih bersikap 'kebinatangan'!
Maaf, saudara pembaca.. sekadar ingin menyuara rasa - benci kepada permusuhan kaum, sebaliknya sayangkan perpaduan melibatkan pelbagai bangsa di negara kita.
Saudara lihat potret berikut, dan nilailah dengan kehidupan kita...



Catatan - Selamat menyambut Bulan Patriotisma, "PERPADUAN TERAS KEJAYAAN"

Friday, August 8, 2008

SANGGUP MAKAN..?



Sewaktu menerima gambar ini, terkejut amat!
"Mak datuk... besornya..!"
"Erk! Udang apa ni..?"
"Udang kara ke..?"
"Entah!"
-pelbagai tandatanya yang menerjah di benak!

Saya, secara peribadi, belum pernah merasai udang kara. Spesis udang lain; udang galah, udang harimau, udang lipan, udang pepai, dan lain-lain yang murah dan mudah didapati di pasar tempatan, pernah saya cuba.

Udang spesis di atas, saya belum tahu bagaimana rasanya.. Tapi kalau ler sebesar itu, tak sanggup saya menjamahnya!

Saudara, bagaimana? Sanggup?!

Saturday, July 26, 2008

ANEH - Ikan Pelik Menyerah Diri..?

Adalah sesuatu yang menyeronokkan apabila ketika kita berada di tengah lautan, tiba-tiba kita terlihat sesuatu yang tidak pernah kita lihat sebelum ini. Saya pernah mengangankan melihat 'manusia atlantis', atau duyung sebenar (bukan wayang!) berada di depan mata! Tapi, angan-angan tetap sesuatu yang hanya indah dalam bayangan! Jika terjumpa sesuatu yang pelik dan aneh di laut, sungai atau di mana saja tempat memancing, tentu itu juga sesuatu yang menarik mengisi diari pengalaman. [Kecuali kisah 'misteri' yang dialami ketika memancing, itu hanya dikongsi dengan teman tertentu saja!]

Saya telah menerima email daripada seorang saudara yang mengirim foto ikan pelik ini. Tapi saya tidak pasti bila, kerana tiada catatan mengenainya. Rasanya sudah lama tersimpan dalam koleksi potret peribadi.
Berikut dipaparkan foto berkenaan mengikut urutan..



Melihat turutan foto yang dipaparkan, seolah-olah ikan itu sengaja menghala ke daratan, sebelum ia ditangkap oleh nelayan (?) yang mengekorinya.

Untuk mengatakan ikan itu dipancing, mustahil pula kerana tiada tanda ia menelan umpan ataupun dijaring.

Ada yang menganggap- inilah ikan yang dikatakan 'naga'. Walaupun sehingga kini, tidak ada bukti sahih yang mengaitkan ikan pelik itu sebagai 'naga'.

Penangkapan ikan ini kembali mengingatkan kita kepada ikan pelik yang ditangkap oleh askar Amerika sekitar 1960an dulu di perairan Vietnam, kalau tidak silap.
Cuba saudara pembaca bandingkan, ada persamaan antara ikan-ikan yang ditangkap itu..?

Sunday, June 22, 2008

'SEJAMBAK KEMAAFAN'

Salam buat saudara pengunjung, khasnya para teman pemancing.

Kebelakangan ini, aktiviti memancing amat terbatas. Selain disebabkan kesibukan tugas, faktor rakan pemancing yang sudah berpindah, hujan yang tidak menentu dan lain-lain, menjadi penyebab maklumat dalam blog ini jarang dikemaskinikan..

'Sejambak Kemaafan' jua, buat rakan-rakan yang mengharapkan info lokasi memancing terbaru dan menarik. Saya sememang belum berpeluang 'menduga-uji' tempat-tempat baru apabila sesi persekolahan kembali dibuka. [Betul, dulu dalam seminggu 2-3 kali melayan joran di Tepian Rimba, Sg. Serai - sama ada untuk mencari ikan, mahupun udang galah. Tapi waktu itu, semangat kuat teman-teman sekerja yang amat 'ghairah' mendapatkan hasil terbaik, mendorong diri memancing, meskipun keesokannya terpaksa pula berdepan mendidik anak murid..Itu dulu.]

Kini, dengan faktor kos kehidupan yang agak 'membebankan', kegiatan memancing juga terpaksa dihadkan.

'Sejambak Kemaafan'. Jika ada peluang dan kesempatan, insya-Allah, maklumat akan dikongsi bersama.. Insya-Allah...

*Gambar hiasan- Dik Pah dengan patin hampir 5kg yang dipancing pakciknya, Azhar, di Kolam Sukida Resort, Semenyih.

KEMAHIRAN INDIVIDU MENANGKAP IKAN


Ada berbagai-bagai cara untuk mendapatkan ikan. Kita boleh memancing dengan menggunakan joran, bubu, memukat atau menjaring, dan sebagainya. Atau cara paling mudah, pergi saja ke pasar!
Ada juga yang menggunakan tangan - ya, cuma sebelah tangan, mampu menangkap ikan dari tepi rakit/bot, seperti yang pernah saya tonton dalam Majalah 3 dulu. Kemahiran mereka ini hasil daripada latihan dan menjadi kebiasaan.
Apabila menonton klip video ini pula, saya berasa sungguh kagum.. Mereka menyelam seraya menggunakan kudrat untuk menaikkan ikan yang...aduhai..besar amat! Saudara ada kemahiran ini..? Saksikanlah...

Friday, June 6, 2008

Menguji Kolam di Bandar Tasek Kesuma, Semenyih

Pada 26 Mei lalu, saya memenuhi hajat seorang teman untuk memancing di sebuah kolam berbayar di Semenyih.
Selepas bersarapan bersama isteri di Ali Corner, saya bergegas menuju ke destinasi yang dimaksudkan. (Isteri pulang sendirian!) Saya biasanya tidak mahu teman menunggu lama, biarpun saya sendiri biasanya terpaksa berpeluh menanti kawan-kawan!

Setibanya di simpang kedua di Bandar Tasek Kesuma, saya terpaksa menunggu Azhar (yang tinggal di taman perumahan berdekatan iaitu di Pelangi Semenyih) kerana katanya membeli barang keperluan nanti.

Kami tiba sekitar jam 9.00 pagi. Bayaran masuk - RM12 untuk tiga jam pertama (RM10 sebagai deposit). Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. Jika memancing lima jam terus (RM27), dapat free sejam. Saya bertanyakan serba sedikit mengenai spesis ikan yang terdapat di kolam, serta umpan yang biasa digunakan. Penjaga kaunter memberitahu ikan yang banyak terdapat di sini adalah rohu, tilapia, patin. Umpan yang digunakan adalah dedak.

Kelihatan tidak sampai 5 orang pemancing sedang melayan joran masing-masing. Melihat keadaan kolam, sememang meriah dengan mainan ikan di permukaan kolam. Semangat untuk menduga kolam semakin berkobar-kobar.
Kami mengambil 'port' masing-masing.

Sememang agak teruji kesabaran tatkala ikan beberapa kali bermain di hujung kail. Apabila pemancing di seberang menaikkan beberapa tangkapan, kami berkeyakinan mungkin ada habuan untuk kami. Mungkin. Yalah, kali pertama menguji tempat ini, seronok juga jika ada hasil kenangan yang boleh dibawa pulang.

Joran saya mungkin terhumban ke dalam kolam akibat tarikan kuat ikan (ntah apa spesisnya?). Tapi saya telah mengikat awal di bawah mesin pada joran, supaya joran tidak tercampak ditarik ke kolam. Pengalaman di Sukida Resort serta di Bayu Tekala, telah memberi pengajaran agar lebih berhati-hati ketika mengail.

Agak geram juga setelah beberapa kali sempat 'bertarung' dengan ikan yang memagut umpan, namun beberapa kali juga terlepas... Mungkin juga kail tidak lekat betul di mulut ikan.

Pada waktu tengah hari, setelah menunaikan fardhu zohor, kehadiran pemancing bertambah ramai. Ada dua orang pemancing 'regular' telah meminta saya beralih 'port' ke bahagian tengah sedikit, kerana kata mereka tempat saya itu airnya tidak dalam. Dan bahagian tengah pula adalah tempat yang banyak ikan (tilapia). Saya menurut kerana saya sememang tidak tahu keadaan kolam itu bagaimana. Saya beralih ke tempat Azhar memancing. Saya perasan, wajah Azhar menunjukkan seolah-olah hampa dengan hasil pancingannya. Saya ada bertanyakan kepada beliau, dan beliau mengaku - kolam banyak ikan tapi 'tak menggigit'. Saya bersetuju dengannya, tapi berharap suatu hari nanti kami akan datang memancing di sini lagi.

Kami membuat keputusan untuk pulang pada jam 2.00 petang, kerana Azhar terpaksa pulang awal untuk mengambil isterinya yang sedang berkursus. Di kaunter pembayaran, penjaga tiket memberitahu kami ada sejam lagi (percuma) untuk memancing. Kami menyatakan terpaksa pulang kerana ada urusan lain.

Memang sedikit menghampakan, kerana saya belum puas memancing sebenarnya! Tapi memandangkan Azhar ingin pulang, saya terpaksa akur kerana kami datang bersama, dan ada baiknya pulang juga bersama.

Namun kolam memancing ini pasti menggamit kehadiran saya lagi. Saya akui, di kolam ini sememang banyak ikan, dan besar-besar pula. Saya nampak, ada yang hampir sebesar peha bermain di tepi kolam, tak jauh dari 'port' awal saya. Itu yang pasti!

Sunday, May 25, 2008

Selamat Tinggal Kenyir - 20 Mei 2008

Setelah 'berkampung' selama empat hari tiga malam, sudah tiba masanya untuk berangkat pulang...
Asrul, Ijam, Shahrul, Nizam, Kamarul dan Yusof, bekerjasama menyiang ikan untuk disimpan dan dibawa pulang.




Perjalanan bot yang tenang, memberi peluang untuk kami menikmati keindahan panorama Tasek Kenyir.

Tasek buatan manusia terbesar di Asia ini, turut dikunjungi pelawat dari luar negara. Sebab itu di sini, wujud beberapa resort untuk disewa oleh para pelawat luar.

Seperti awal kedatangan kami, perjalanan pulang juga mengambil masa selama hampir empat jam. Kami dikira bertuah kerana enjin yang bot yang kami naiki ini, masih baru dan laju.

Pemandu bot - sdr Faizal pula, meskipun tidak banyak cakap, tapi mesra senyuman. Beliau sememang berpengalaman memandu bot, jika dilihat pada keupayaannya mengendalikan bot sepanjang empat hari trip kami.

Agak sayu tatkala melihat Pakcik Yahya berlepas pergi setelah menurunkan kami di Empangan Kenyir.. Segala kenangan bersama beliau, kami hargai dan tersimpan di ingatan.

Trip kami mungkin dianggap kurang berjaya. Mungkin. Ini kerana ramai di antara kami yang tidak dapat menangkap kelah. Selain faktor 'air besar/tinggi', kemasukan hampir 20 buah bot pada hujung minggu, membantutkan hasrat kami untuk bebas dan puas memburu kelah.
Namun, pengalaman ini dikira baik kerana mampu menjalin ikatan persahabatan yang murni dan harmoni - khususnya di kalangan warga Shearn & Delamore.

*Bergambar kenangan di hadapan Empangan Kenyir, laluan masuk ke Tasek Kenyir.

* En. Raja (boss), bergambar bersama anak buah beliau, Joe, Ijam dan Asrul, dengan Prado yang akan membawa mereka pulang ke Kuala Lumpur.
Terlintas pula di fikiran penulis - bila lagi agaknya trip kita ke Kenyir? Mungkin selagi 'boss' belum menamatkan zaman bujangnya! Jumpa lagi di lain kesempatan!

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.