Monday, February 9, 2009

PANTANG ADA CUTI, PASTI KE KOLAM MANCING!

Kalau dah namanya kaki mancing, pantang ada cuti, pasti diperuntukkan meski sehari- waktu untuk keluar mancing.

Memandangkan banyak kolam memancing berbayar di daerah Hulu Langat ini, justeru sememang tidak ada masalah untuk mencari-cari di mana tempat untuk memenuhi hasrat melayan joran..

Baru-baru ini, abang saya yang tinggal di Cheras, menanyakan tempat yang menarik untuk memancing. Dia juga sudah lama tidak mengail. Joran dan kekili baru yang dibelinya pada tahun lepas juga belum 'dirasmikan' lagi!

Lantas saya mencadangkan kami memancing di Kolam Awie, Hulu Langat. Memandangkan saya telah lebih 10 kali menduga kail di kolam tersebut, serta meraih hasil tangkapan yang agak memberangsangkan, saya merasakan kolam tersebut pasti tidak mengecewakan sesiapa yang baru ingin melayan pancingan di situ.

Abang saya hadir bersama anak bongsunya, Sufiah, seperti dirancang. Cuma agak mengecewakan kerana kata abang saya, joran dan kekili baru yang dibelinya, hilang dikebas di hostel Syafique (tempat belajar anak lelakinya). Oleh itu, dia akan hanya menggunakan joran dan kekili lama.

Kami memancing di Kolam Awie selama tiga jam saja. Agak mendukacitakan, kali ini, saya tewas kerana bukan saja tidak dapat menangkap walau seekor ikan, malahan umpan juga jarang diusik!

Demi mengelakkan rasa hampa, saya 'membeli' ikan daripada sahabat yang turut memancing di situ, untuk diberikan kepada abang dan anak buah saya.. Rakan itu memberikan dua ekor rohu (sekilo lebih setiap seekor), dan tidak mahu menerima wang yang saya berikan. Tapi saya pula berasa tidak sedap jika mengambil ikan tersebut dengan percuma. Akhirnya rakan saya mengalah dan menerima wang yang saya berikan itu..

(Sebelum ini, apabila memancing beramai dengan rakan-rakan, jika hasil yang diperolehi banyak, kami membahagi-bahagikan sesama kami)

Kerana itu, apabila abang saya juga tidak mendapat hasil, saya yang beria-ia memberitahunya tentang menariknya kolam itu, merasakan 'tidak kena' pula seolah-olah 'indah khabar dari rupa'!

Dan semoga keenakan ikan rohu yang diberi itu, akan mendorong abang saya untuk mencuba lagi di Kolam Awie..

No comments:

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.