
Pagi Sabtu lalu, saya dan kawan-kawan merancang memancing di Teratak Madu, Kg Pasir, Semenyih. Saya berkereta (sendirian), Cikgu Rukis menunggang motorsikal, manakala Cikgu Junaidi satu kereta dengan Ustaz Norizam.
Perjalanan dari pekan Batu 14 Hulu Langat merentasi bukit Jalan Sg Tekali ke destinasi, mengambil masa kira-kira 30 minit.

Kolam Teratak Madu hanya dibuka pada hujung minggu (Sabtu & Ahad) serta pada hari cuti umum. Bayaran dikenakan RM5.00 bagi sejam.

Ikan yang menghuni kolam ialah Patin, Tongsan, Rohu, Tilapia, Lampam dan Baung. Menurut kata keluarga tuanpunya kolam, paling besar ikan yang terdapat di kolam adalah patin seberat 20 kilogram!

Sesi awal memancing, kami hanya melayan ragutan tilapia merah dan lampam. Seperti biasa, ikan bersaiz kecil, kami 'catch & release'. Manakala saiz yang boleh dibuat lauk, kami masukkan ke dalam kumbu.
Cikgu Junaidi paling banyak menaikkan tilapia merah sebesar melebihi tapak tangan. (Sehinggakan dia memberikan beberapa ikan tilapia merah kepada Cikgu Rukis yang terpaksa pulang awal kerana isteri memintanya pulang untuk ke pasar)

(*Tumpuan memancing kami sedikit tergugah melihat sekumpulan anak dara berkereta MyVi yang datang turut melayan joran di seberang sana..)
Pada waktu tengah hari, kami beralih 'port' ke seberang kolam. Mengikut Cikgu Junaidi, di sana lebih sesuai kerana di situ tempat bermain spesis rohu.

Ternyata 'penghijrahan' kami berbaloi. Adegan bertarung dan menaikkan ikan lebih kerap. Joran saya juga nyaris terbang, tetapi kerana lebih awal diikat, hanya ikan yang terlepas -melepaskan kail mata rambai bersaiz 7 yang terbuka dan perambut dawai yang terbengkok..

*Ustaz Norizam sedang bertarung dengan rohu anggaran 2 kilogram

*Cikgu Junaidi membantu menyauk ikan melalui penangguk yang dibawa bersama
Kami memancing selama 6 jam dan perlu membayar RM30.00. Namun itu bukan masalah kerana trip kami kali ini dianggap memuaskan hati, dengan hasil patin, rohu, tilapia merah dan lampam yang dibahagi-bahagikan sesama kami.
Insya-Allah, jika ada ruang dan peluang, saya pasti akan memancing di Teratak Madu lagi..







