Tuesday, July 28, 2009

PERKHEMAHAN DI RIMBA RIA SUARA HUTAN, CONGKAK

Pada Jumaat hingga Ahad lepas, saya berpeluang mengikuti program perkhemahan badan beruniform sekolah bertempat di Rimba Ria Suara Hutan, Sg. Congkak. Seperti biasa, tugas yang digalas- jurufoto yang akan merakam segala aktiviti yang dijalankan sepanjang program.

Sesuatu yang agak menarik adalah sepanjang program berjalan, semua peserta dibenarkan bebas memakan segala buah-buahan yang terdapat di tapak perkhemahan. Antara buah-buahan yang menjadi habuan kami ialah duku langsat, rambutan, pulasan dan manggis. Sayang sekali buah durian telah habis sebelum kami menjejak ke situ. Cempedak, duku dan binjai juga ada tetapi kurang memikat tumpuan rakan guru.

Kami juga dibenarkan memancing di kolam ikan yang terdapat di kawasan tapak perkhemahan. Pada hari pertama lagi, saya dan Amiluddin menduga kolam di belakang, dan dapat membawa pulang 19 ekor tilapia merah -dalam masa kurang sejam.

Keesokannya, kami mengambil kesempatan untuk melayan joran lebih lama pada lewat pagi. Rakan-rakan lain - En. Azman, Ustaz Hazizan, dan Hishammuddin, juga tidak ketinggalan belajar memancing. Manakala rakan guru perempuan pula ada yang hanya ingin merasa layanan joran yang sudah 'menjerat' ikan..

Alhamdulillah, lebih 30 ekor tilapia merah dan hampir 10 ekor keli yang menjadi 'bahan barbeku' pada tengah hari itu juga!

Tuesday, July 21, 2009

ZALIMNYA MANUSIA..

Setiap kali saya menyemak email yang diterima, pastinya saya mendapat bahan klip video yang pelbagai. Terima kasih kepada rakan taulan yang tidak jemu mengirim bahan, meskipun hingga kini ada lebih kurang 2500 email di yahoo.com.my serta hampir 800 di gmail.com yang belum sempat saya baca/tengok..

Setiap bahan video, slaid, rencana atau gambar, akan saya simpan. Ada yang berguna sebagai bahan motivasi untuk anak didik.

Klip video berikut mungkin tidak sesuai ditonton kanak-kanak mahupun yang berjiwa lemah. Teman yang kuat semangat pun mengeluh dan mengaduh sewaktu melihat video tersebut.

Masih ada golongan yang percaya pada 'pembawa sial' dalam sesebuah masyarakat, hinggakan tergamak membunuh orang yang dianggap tukang sihir atau 'pembawa sial' itu. Peristiwa yang dirakamkan ini dipercayai berlaku di benua Afrika.
Semoga ianya tidak berlaku di tanahair kita.

Saksikan, dan insaflah dengan nasib orang lain yang lebih malang daripada kita...


Sunday, July 12, 2009

DULU 'KOLAM AWIE', SEKARANG - 'LUBUK GAHAL'

Sejak sesi persekolahan Penggal Kedua bermula, saya belum berpeluang melayan joran. Sewaktu cuti dulu, ada beberapa kali saya membawa Anas ikut memancing di beberapa kolam berbayar di daerah Hulu Langat.

Antara kolam yang kami kunjungi adalah Seri Bayu Tekala, Lubuk Ikan Sg. Tekali dan sebuah kolam berdekatan Taman Rakan -dulu namanya Kolam Yuyu (saya terlupa nama barunya!).
[*Gambar kolam berdekatan Taman Rakan, tidak ramai pengunjung. Anas lebih suka membaca dari memancing!]

Kolam favorite saya - Kolam Awie, juga telahpun bertukar nama. Kini, ia dinamakan 'LUBUK GAHAL'. Bersesuaian dengan nama barunya, tauke Lubuk Gahal iaitu Cikgu Junaidi, telah melakukan penambahbaikan terhadap kolam tersebut, terutama dari segi penambahan stok ikan yang menarik berserta saiznya yang tidak menghampakan para pemancing.

Bagi sesiapa di kalangan pemancing yang belum cuba menduga Lubuk Gahal, silakan menguji kemahiran saudara menaikkan spesis tongsan, rohu dan patin yang menghuni di kedua-dua kolam berkenaan.

[*Kedua-dua foto menunjukkan ikan rohu dan tongsan yang dipancing di Lubuk Gahal]
Selamat Memancing!

Thursday, May 21, 2009

RELAX JAP - POTONG RAMBUT GUNA API..?

Saya masih belum berkesempatan melayan joran dalam dua tiga minggu ini..

Memandangkan tiada bahan berkaitan ikan atau pancingan yang boleh dikongsi bersama, saya hanya mampu mengisi bahan berbentuk klip video untuk tatapan rakan taulan yang sesekali menjenguk ke blog saya..

(TERIMA KASIH - dik Syah Shah, kerana 'menjentik' teman untuk 'mengisi' sesuatu di 'rumah ini'..)

Klip video kali ini- tiada kaitan dengan ikan atau hal ehwal memancing. Tapi berkaitan dengan 'gunting rambut'. Saya pernah menggunting rambut sendiri- dulu, selama hampir 20 tahun. Jimat duit.
[Sebenarnya, sebab saya tak suka penggunting rambut itu memegang kepala saya!]

Tapi, sejak tiga tahun kebelakangan, saya 'boleh terima' orang lain menggunting rambut saya..

Menonton klip video berikut, saya sama sekali tidak akan sanggup jika diperlakukan begitu..

Saudara, bagaimana..?

(Mungkin sesuai bagi yang berambut kerinting @ 'afro'.. :D)

Wednesday, May 6, 2009

REHATKAN MINDA...JOM TENGOK UFO!

Pada bulan lalu, ada berita tentang objek yang tidak dikenali (UFO) yang dapat dirakam oleh dua beradik di Johor. Beberapa hari kemudian, pihak berkuasa dan agensi yang ada kaitan dengan hal ehwal angkasaa membuat penafian wujudnya kehadiran UFO ni..

Selalu saja, berita atau cerita mengenai UFO, akan disangkal keras serta dinafikan oleh pihak berkuasa- di serata dunia. Meskipun bukti telah dikemukakan melalui gambar, video, namun akhirnya kes penemuan UFO masih tetap menjadi misteri hingga ke hari ini.

JIka tanyakan kepada saya, secara peribadi- saya percaya pada kewujudan UFO. Alam ini - ghaib dan nyata, terlalu luas untuk diteroka. Kebesaran Ilahi memungkinkan segalanya.

Saya juga pernah melihat dengan mata kepala sendiri- objek seakan piring terbang, jelas bergerak deras - dalam beberapa saat, sebelum hilang dari pandangan. Namun, peristiwa yang telah 30 tahun berlalu itu tidak pernah saya ceritakan kepada sesiapa. Untuk apa dihebah dan dihebohkan? Sebab saya pasti, tidak ramai yang percaya...

Anda pernah berpengalaman serupa..?

Mari kita rehatkan minda dengan menonton video klip berikut. Saya tidak pasti tarikh tepat rakamannya. Cuma saya diberitahu, ianya dirakam di Haiti. Benar atau palsu, saudara nilailah sendiri..

Friday, April 24, 2009

MENONTON 'MAHSURI', YANG KUTEMUI 'MANIRA'

Jika sebut Fauziah Nawi, yang tergambar adalah seorang pelakon yang amat berbakat. Saya pernah, dan suka menonton drama serta teater lakonannya. Lakonan beliau dalam 'Cinta Julia' di Setor DBP dulu, hingga kini masih membekas di ingatan!

Semalam, saya dapat jemputan daripada dik Ryann [http://audiiwana.blogspot.com] untuk hadir ke majlis pratonton teater 'Mahsuri' arahan kak Fauziah di Panggung Sari Istana Budaya.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang teater itu, kerana saya telah menulis mengenainya di http://kanvaskarya-amal4444.blogspot.com.

Apa yang ingin saya sentuh adalah mengenai 'Manira' yang saya temui di sebalik teater Mahsuri.

Gerak hati saya kuat mengatakan- "dia lah Manira!"
(Saya tahu, dia turut hadir di majlis pratonton itu...)

Niat saya untuk memberikan sebuah novel kepadanya, terencat..

Sebab..?

Saya tahu, dia cuba melarikan diri daripada saya..

"Siapalah saya di matanya..?"

Saya sedar, saya bukannya seorang celebrity yang dikejar orang!

Namun, atas rasa ukhuwwah, kenal kawan, rasa bersahabat, saya rasa sepatutnya ada perbualan yang berlaku antara kami.. Namun apa kan daya.. Mungkin juga rasa segan menyebabkan hanya 'mata yang melihat', bukan 'kata yang berbalas'!

Akhirnya novel yang dibeli, diniatkan untuk dihadiahkan kepada dik 'Manira', dibawa pulang..

Aduhai..

Tuesday, April 21, 2009

KEMBALI MELAYAN JORAN DI 'LUBUK IKAN', SG. TEKALI

Sudah lebih sebulan saya tidak meng'update' blog ini. Begitu juga blog yang lain. Tentu kesibukan- alasan yang terpaksa diberi kerana itulah hakikat yang dihadapi.
(Saya kagum dengan kawan blogger - KTS, CKlah, Syah Shah, YB -sekadar menyebut beberapa nama- yang terus rajin mencoret sesuatu di blog mereka. Meskipun saya tidak mengisi bahan dalam blog saya, tapi apabila berinternet, saya akan menjengah ke blog mereka itu..)

*Terima kasih - kepada teman-teman yang singgah ke sini, yang 'mengintai' jika ada entri terbaru saya..
Buat kalian, SEJAMBAK KEMAAFAN - atas segala kekurangan..

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Apabila musim sekolah, tidak banyak masa untuk pergi mengail. Saya tidak 'kuat' seperti seorang rakan, hari sekolah pun dia sanggup berjam-jam memancing pada sebelah malam. Dulu, saya pun bolehlah dikategorikan sebagai 'pemancing tegar'. Dalam seminggu persekolahan, pasti dua-tiga hari saya memancing di kolam berbayar berdekatan. Ada kalanya pulang ke rumah sehingga jam 2-3 pagi, sedangkan keesokannya terpaksa bertugas..

Kini, saya hanya mampu meluang masa untuk memancing pada hujung minggu. Itupun, 'tidak keluar daerah', seperti 8-10 tahun dulu.

Baru-baru ini, saya dan Anas, menduga Lubuk Ikan yang terletak di Sg. Tekali, berdekatan dengan Pusat Kokurikulum Negeri Selangor. Dahulunya, kolam ini dikenali dengan nama Kolam Hj. Nawawi. Difahamkan, nama baru diberi setelah kolam ini diurustadbir oleh anak Hj. Nawawi.

Bayaran memancing- RM20 bagi tiga jam pertama. Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. Tapi bagi tempoh promosi, pemancing diberikan sejam percuma. Tidak pasti bila tempoh promosi ini berakhir.

Ketika saya tiba, tidak ramai pemancing. Dan hasil yang dinaikkan juga tidak kerap. Suasana nampak kurang meriah. Sesekali kelihatan pemancing menaikkan pacu dan tilapia.

Saya yang berbekalkan umpan dedak pandan, dedak 929, selain cengkerik, tidak mendapat 'sambutan menggalakkan' daripada penghuni kolam ini. Saya ada bertanyakan kepada seorang adik yang memancing, umpan apa yang digunakan. Dia dan rakannya menggunakan umpan cacing. Ternyata umpan itu jarang menghampakan.

Aktiviti memancing itu bagi saya cukup sekadar empat jam, dan tidak bercadang menambah masa lagi. Hasilnya, hanya seekor pacu hampir sekilogram yang dibawa pulang.
Aduhai..

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.