Friday, April 24, 2009

MENONTON 'MAHSURI', YANG KUTEMUI 'MANIRA'

Jika sebut Fauziah Nawi, yang tergambar adalah seorang pelakon yang amat berbakat. Saya pernah, dan suka menonton drama serta teater lakonannya. Lakonan beliau dalam 'Cinta Julia' di Setor DBP dulu, hingga kini masih membekas di ingatan!

Semalam, saya dapat jemputan daripada dik Ryann [http://audiiwana.blogspot.com] untuk hadir ke majlis pratonton teater 'Mahsuri' arahan kak Fauziah di Panggung Sari Istana Budaya.

Saya tidak mahu bercerita panjang tentang teater itu, kerana saya telah menulis mengenainya di http://kanvaskarya-amal4444.blogspot.com.

Apa yang ingin saya sentuh adalah mengenai 'Manira' yang saya temui di sebalik teater Mahsuri.

Gerak hati saya kuat mengatakan- "dia lah Manira!"
(Saya tahu, dia turut hadir di majlis pratonton itu...)

Niat saya untuk memberikan sebuah novel kepadanya, terencat..

Sebab..?

Saya tahu, dia cuba melarikan diri daripada saya..

"Siapalah saya di matanya..?"

Saya sedar, saya bukannya seorang celebrity yang dikejar orang!

Namun, atas rasa ukhuwwah, kenal kawan, rasa bersahabat, saya rasa sepatutnya ada perbualan yang berlaku antara kami.. Namun apa kan daya.. Mungkin juga rasa segan menyebabkan hanya 'mata yang melihat', bukan 'kata yang berbalas'!

Akhirnya novel yang dibeli, diniatkan untuk dihadiahkan kepada dik 'Manira', dibawa pulang..

Aduhai..

Tuesday, April 21, 2009

KEMBALI MELAYAN JORAN DI 'LUBUK IKAN', SG. TEKALI

Sudah lebih sebulan saya tidak meng'update' blog ini. Begitu juga blog yang lain. Tentu kesibukan- alasan yang terpaksa diberi kerana itulah hakikat yang dihadapi.
(Saya kagum dengan kawan blogger - KTS, CKlah, Syah Shah, YB -sekadar menyebut beberapa nama- yang terus rajin mencoret sesuatu di blog mereka. Meskipun saya tidak mengisi bahan dalam blog saya, tapi apabila berinternet, saya akan menjengah ke blog mereka itu..)

*Terima kasih - kepada teman-teman yang singgah ke sini, yang 'mengintai' jika ada entri terbaru saya..
Buat kalian, SEJAMBAK KEMAAFAN - atas segala kekurangan..

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Apabila musim sekolah, tidak banyak masa untuk pergi mengail. Saya tidak 'kuat' seperti seorang rakan, hari sekolah pun dia sanggup berjam-jam memancing pada sebelah malam. Dulu, saya pun bolehlah dikategorikan sebagai 'pemancing tegar'. Dalam seminggu persekolahan, pasti dua-tiga hari saya memancing di kolam berbayar berdekatan. Ada kalanya pulang ke rumah sehingga jam 2-3 pagi, sedangkan keesokannya terpaksa bertugas..

Kini, saya hanya mampu meluang masa untuk memancing pada hujung minggu. Itupun, 'tidak keluar daerah', seperti 8-10 tahun dulu.

Baru-baru ini, saya dan Anas, menduga Lubuk Ikan yang terletak di Sg. Tekali, berdekatan dengan Pusat Kokurikulum Negeri Selangor. Dahulunya, kolam ini dikenali dengan nama Kolam Hj. Nawawi. Difahamkan, nama baru diberi setelah kolam ini diurustadbir oleh anak Hj. Nawawi.

Bayaran memancing- RM20 bagi tiga jam pertama. Tambahan RM5 bagi setiap jam berikutnya. Tapi bagi tempoh promosi, pemancing diberikan sejam percuma. Tidak pasti bila tempoh promosi ini berakhir.

Ketika saya tiba, tidak ramai pemancing. Dan hasil yang dinaikkan juga tidak kerap. Suasana nampak kurang meriah. Sesekali kelihatan pemancing menaikkan pacu dan tilapia.

Saya yang berbekalkan umpan dedak pandan, dedak 929, selain cengkerik, tidak mendapat 'sambutan menggalakkan' daripada penghuni kolam ini. Saya ada bertanyakan kepada seorang adik yang memancing, umpan apa yang digunakan. Dia dan rakannya menggunakan umpan cacing. Ternyata umpan itu jarang menghampakan.

Aktiviti memancing itu bagi saya cukup sekadar empat jam, dan tidak bercadang menambah masa lagi. Hasilnya, hanya seekor pacu hampir sekilogram yang dibawa pulang.
Aduhai..

Friday, March 13, 2009

BANJIR KILAT DI HULU LANGAT

Hari ini, pastinya menjadi kenangan pahit buat segelintir warga Hulu Langat. Sejak 15 tahun, tidak pernah berlaku banjir besar seperti yang terjadi pada hari ini.

(*Foto menunjukkan keadaan belakang rumah di mana air sungai telah melimpah ke kawasan kebun dan menghampiri rumah jiran saya)
Pagi di sekolah, saya mendapat maklumat daripada seorang rakan guru- kawasan Dusun Tua dan Batu 18 telah banjir. Di tempat kami, berita mengenai banjir ketika musim hujan, seperti satu fenomena yang telah diduga. Meskipun tidak seteruk bah di pantai timur, namun keadaan banjir yang melanda di kawasan tertentu di Hulu Langat, pastinya merisaukan.

(*Foto- Keadaan kebun berdekatan sungai yang dilimpahi air. Dulu, habis segala bubu dan peralatan berkebun dihanyutkan air bah)
Jalan utama yang menghubungkan kawasan dari Cheras dan Kajang, dengan Hulu Langat, hanya menggunakan satu jalan- iaitu dari Batu 9 melalui perkampungan Kg. Melaka, Bukit Raya, Desa Pelangi, Kg. Sg. Serai, Desa Raya, Dusun Nanding dll..

Apabila banjir di Kg. Sg. Serai, maka jalan utama sememang akan sesak kerana tidak sesuai dilalui kenderaan kecil. Mengikut berita yang diterima, ada kawasan yang ditenggelami air sedalam 2 meter. Rumah seorang rakan sekerja, air mencecah paras dada.

(*Foto- Mungkin nampak air cetek dan tidak masuk ke rumah Hj. Md. Zain Taukey Emas. Tapi itu sudah dikira 'tinggi' kerana kedudukan rumah Pak Haji agak tinggi dari sungai belakang rumah)
Isteri saya bersama empat lagi rakannya terpaksa berpatah balik setelah tidak dapat merentas jalan utama ke sekolah. Seorang rakan yang pulang mengambil anaknya di SMA Batu 10, tersangkut sejak jam 5 lebih, dan hanya sampai di rumahnya di Kg. Sg. Serai pada 8.30 mlm. (Masa biasa hanya kurang 10 minit)

Tidak pasti apa yang menyebabkan banjir besar ini berlaku. Ada yang kata, orang lepaskan air di Empangan Pangsun, pada kebiasaan hujan lebat. Ada yang beritahu- Sungai Langat tidak didalamkan, lantas apabila hujan lebat air sungai akan melimpah ke daratan..

(*Foto- Kejadian banjir yang berlaku ini pastinya akan membuatkan penduduk Taman Seri Nanding akan lebih berwaspada dengan keadaan banjir kilat setiap kali musim hujan lebat)
Apapun yang diperkatakan, banjir sudah berlaku. Ada yang terpaksa menanggung kerugian. Ada yang terpaksa menunggu berjam-jam dalam kereta kerana terkandas di jalanan. Ada yang terpaksa 'ponteng' kerja dan sekolah. Ada yang terpaksa membatalkan pelbagai janji yang telah dibuat.. Pendek kata, 1001 permasalahan telah timbul, kesan banjir kilat ini..

Sebagai hamba-NYA, kita terpaksa sedar bahawa segala yang berlaku pasti ada hikmah di mana-mana. Tidak perlu merungut atau mengeluh, kerana dikhuatiri akan menyebabkan kita jatuh kufur! Kena yakini dengan kasih sayang-NYA dalam setiap takdir yang tersurat.

(*Foto- Air yang naik tidak sampai sekaki di hadapan rumah, tapi di belakang berdekatan sungai, rasanya lebih 10 kaki!)
*Saya terkenang pada zaman kanak- ketika bah di Rantau Panjang dan Kota Bharu, Kelantan. Seronok bermain air dan menaiki rakit.. Nostalgik amat!

Thursday, March 5, 2009

SEKSANYA BADAN...

Aduhai..sekali lagi rasa terkedu, tatkala menonton klip video yang memaparkan suatu bentuk penyiksaan terhadap haiwan.

Meskipun ia berbentuk pertandingan memasak, tapi apabila melibatkan penganiayaan seperti itu, saya rasa kita sama sekali tidak boleh menerima perlakuan seperti yang dipaparkan tersebut.

[ Cuma, alhamdulillah, ia tidak berlaku di negara kita... Namun, siapa tahu- ia berlaku di restoran-restoran Cina di negara kita..? ]

Islam melarang sebarang bentuk penyiksaan terhadap hidupan. Jika ingin membunuh haiwan sekalipun, tidaklah sampai masak hidup-hidup!

Saudara, tergamakkah menelan masakan itu jika dihidangkan kepada saudara..?

Sunday, March 1, 2009

KOLAM TANGGUK-TANGGUK, SEMENYIH. INDAH KHABAR DARI RUPA..?

Banyak yang saya dengar daripada kenalan pemancing tentang kolam ini. Sejak kebelakangan ini, cerita yang saya dengar- pasti mengenai banyaknya spesis rohu bersaiz gadang di kolam tersebut.

[Lama dulu, saya pernah meraih tilapia merah sederhana besar sehingga penuh kumbu. Sampai seorang member ajak pulang kerana tak larat nak melayan joran yang kerap mengena!

Kami kerap mengulang mengail di Tangguk-tangguk waktu itu. Sehinggalah suatu hari, setelah dua-tiga jam memancing tanpa sebarang habuan, kami diberitahu "kolam dah tak masuk ikan sejak empat bulan!". Terasa bagai "tertipu", kami pun berpakat pulang serta berjanji untuk tidak memancing di situ lagi!]

Tapi itu dulu. Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, saya mendengar "kehebatan" kolam ini yang menarik ramai pemancing dan "peminat rohu!" Lalu saya dan beberapa orang teman merancang untuk menduga sendiri kolam Tangguk-tangguk berkenaan..

Bayaran, masih RM20 untuk minima empat jam, bagi sebatang joran. Syarat-syarat lain, sama seperti tempat memancing lain.

Saya dan rakan-rakan melayan joran tidak sampai tempoh minima, kerana hanya anak-anak tilapia yang menggigit umpan.. (kecuali seorang teman mendapat seekor rohu sekitar sekilo lebih). Mainan yang diharapkan tidak menjadi. Tidak pasti, sama ada umpan kami yang tidak sesuai untuk ikan di kolam tersebut, ataupun tidak banyak ikan yang terdapat di dalam kolam..?

Meskipun tidak mengikut tempoh minima empat jam, namun kita tidak boleh menuntut pulangan bayaran sekalipun jika kita hanya memancing sekitar dua -tiga jam sahaja. Ini berbeza sedikit dengan beberapa kolam lain yang pernah saya pergi..

Apapun, bagi saya, cukuplah dengan pengalaman pada hari tersebut.. Masih banyak lagi kolam memancing di Lembah Kelang yang belum lagi saya uji...

Saudara, boleh cuba jika mahu. Mungkin rezeki saudara, lain pula berbanding nasib kami..
Perjalanan dari Pekan Batu 14, Hulu Langat melalui bukit Jalan Sungai Tekali, mengambil masa kira-kira 20 minit perjalanan. Sepanjang menuju ke Tangguk-tangguk, saudara juga boleh melihat beberapa kolam lain seperti Seri Bayu Tekala, dan Sukida Resort.
Selamat mencuba..

Monday, February 16, 2009

TANAM ANAK HIDUP-HIDUP..

Saya menerima satu lagi klip video yang agak menyayat hati..
Biarpun ianya sekadar lakonan semula, tapi amat berbekas di minda.

Ia memaparkan realiti yang berlaku dalam suku kaum di Amazon, di mana saban tahun beratus kanak-kanak dibunuh hidup-hidup atas dasar kepercayaan kuno kaum mereka.

Undang-undang purba dan kepercayaan kuno yang tidak mencerminkan kasih sayang terhadap anak-anak, sebaliknya menyerlahkan sifat kebinatangan yang diwarisi turun temurun - tanpa ada usaha untuk mengubahnya.

Klip video ini dikatakan dibuat berdasarkan pengalaman salah seorang yang terselamat daripada penganiayaan ditanam hidup-hidup..

Sebelum menontonnya, harap bersedia dengan unsur 18SG (+ 18SX ?) yang dipaparkan. Bukan tujuan sengaja menyiar bahan lucah @ porno. Tapi dengan niat agar perasaan kasih sesama insan terbentuk, lebih-lebih lagi terhadap anak-anak kecil yang masih putih bersih daripada segala noda dan dosa..

(Semoga anak cucu cicit kita tidak mengalami nasib yang sama.. Amiin)


Sunday, February 15, 2009

MENIMBA HASIL DI KOLAM TERATAK MADU, KG PASIR, SEMENYIH

Apabila merancang untuk memancing, Semenyih adalah lokasi pilihan kerana terdapat banyak kolam memancing berbayar yang menarik. Saya berhasrat untuk mencuba semua kolam memancing yang terdapat di sekitarnya kerana lebih berpuashati menguji sendiri kolam-kolam ini berbanding hanya mendengar daripada rakan yang pernah mengail di tempat berkenaan.

Pagi Sabtu lalu, saya dan kawan-kawan merancang memancing di Teratak Madu, Kg Pasir, Semenyih. Saya berkereta (sendirian), Cikgu Rukis menunggang motorsikal, manakala Cikgu Junaidi satu kereta dengan Ustaz Norizam.

Perjalanan dari pekan Batu 14 Hulu Langat merentasi bukit Jalan Sg Tekali ke destinasi, mengambil masa kira-kira 30 minit.

Kolam Teratak Madu hanya dibuka pada hujung minggu (Sabtu & Ahad) serta pada hari cuti umum. Bayaran dikenakan RM5.00 bagi sejam.

Ikan yang menghuni kolam ialah Patin, Tongsan, Rohu, Tilapia, Lampam dan Baung. Menurut kata keluarga tuanpunya kolam, paling besar ikan yang terdapat di kolam adalah patin seberat 20 kilogram!

Sesi awal memancing, kami hanya melayan ragutan tilapia merah dan lampam. Seperti biasa, ikan bersaiz kecil, kami 'catch & release'. Manakala saiz yang boleh dibuat lauk, kami masukkan ke dalam kumbu.
Cikgu Junaidi paling banyak menaikkan tilapia merah sebesar melebihi tapak tangan. (Sehinggakan dia memberikan beberapa ikan tilapia merah kepada Cikgu Rukis yang terpaksa pulang awal kerana isteri memintanya pulang untuk ke pasar)

(*Tumpuan memancing kami sedikit tergugah melihat sekumpulan anak dara berkereta MyVi yang datang turut melayan joran di seberang sana..)
Pada waktu tengah hari, kami beralih 'port' ke seberang kolam. Mengikut Cikgu Junaidi, di sana lebih sesuai kerana di situ tempat bermain spesis rohu.

Ternyata 'penghijrahan' kami berbaloi. Adegan bertarung dan menaikkan ikan lebih kerap. Joran saya juga nyaris terbang, tetapi kerana lebih awal diikat, hanya ikan yang terlepas -melepaskan kail mata rambai bersaiz 7 yang terbuka dan perambut dawai yang terbengkok..

*Ustaz Norizam sedang bertarung dengan rohu anggaran 2 kilogram

*Cikgu Junaidi membantu menyauk ikan melalui penangguk yang dibawa bersama
Kami memancing selama 6 jam dan perlu membayar RM30.00. Namun itu bukan masalah kerana trip kami kali ini dianggap memuaskan hati, dengan hasil patin, rohu, tilapia merah dan lampam yang dibahagi-bahagikan sesama kami.

Insya-Allah, jika ada ruang dan peluang, saya pasti akan memancing di Teratak Madu lagi..

Terkenang trip ke Tasik Kenyir...

Ekspedisi ke Tasik Kenyir Slideshow: Chulan’s trip from Hulu Langat (near Ampang, Malaysia) to Tasek Kenyir (near Kuala Berang, Terengganu) was created by TripAdvisor. See another Kuala Berang slideshow. Create a free slideshow with music from your travel photos.